Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan bantuan khas kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan pembekalan Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kelewatan berkenaan bukan sekadar isu penghantaran baja sebaliknya memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran, hasil tanaman dan pendapatan keluarga pesawah.

“Apabila kelewatan bukan disebabkan kecuaian pesawah, adalah tidak adil sekiranya segala risiko dan kerugian terpaksa ditanggung oleh mereka seorang diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) wajar menilai segera jumlah pesawah terjejas, tempoh kelewatan, keluasan kawasan sawah terbabit serta kemungkinan kehilangan hasil sebelum menentukan kadar bantuan yang bersesuaian.

Menurut Shaiful Hazizy, ketepatan masa pembajaan amat penting dalam penanaman padi kerana kelewatan menerima baja boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman dan hasil yang bakal dituai.

“Penghantaran baki baja semata-mata tidak bermaksud keseluruhan kerugian pesawah telah diselesaikan. Baja yang sampai lewat tidak boleh memutarkan kembali waktu,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan menyerahkan baki pembekalan Baja 3 kepada Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), selepas berlaku masalah dalam pembekalan sebelum ini.

“Jika kerajaan sendiri mengakui perlunya campur tangan dan perubahan pembekal, mengapa pesawah yang menjadi mangsa kelewatan tidak diberikan bantuan khas?” soalnya.

Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah menyokong siasatan telus bagi mengenal pasti punca kelewatan serta pihak yang bertanggungjawab namun proses itu tidak seharusnya menyebabkan nasib pesawah terus tertangguh.

KPKM juga perlu menjelaskan bentuk pemantauan yang dilaksanakan terhadap pembekal terdahulu serta langkah penambahbaikan bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada musim penanaman akan datang.

“Jangan anggap isu ini selesai hanya selepas semua beg baja berjaya dihantar. Kerajaan telah mengambil tindakan memulihkan sistem pembekalan dengan mengembalikan NAFAS.

‘Kini, kerajaan wajib memastikan pesawah yang menjadi mangsa kegagalan sebelum ini turut mendapat pembelaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, bantuan kepada pesawah perlu diberikan berdasarkan tahap kerugian sebenar dan bukan sekadar penyelesaian secara umum.

“Jangan sekadar pulihkan sistem pembekalan. Pulihkan juga kerugian dan keyakinan pesawah. Pesawah tidak meminta belas kasihan. Mereka menuntut keadilan terhadap kerugian yang bukan berpunca daripada mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here