KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes Janawibawa menafikan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau melakukan siasatan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berat sebelah dengan memberikan perlindungan imuniti terhadap seorang ahli perniagaan.
Ketua Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd. Zaini, 42, tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat `perjanjian’ (deal) supaya Datuk Seri Azman Yusoff menjadi saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri.
Mazery yang kini Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, bagaimanapun bersetuju bahawa Azman yang juga Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd. tidak dikenakan tahanan reman ketika siasatan kes Janawibawa.
Menjawab soalan balas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, saksi pendakwaan ke-29 itu tidak bersetuju bahawa Azman mendapat layanan istimewa ketika siasatan dijalankan.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Azman pada asalnya merupakan suspek dalam kes tersebut sebelum dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-27.
Peguam: Melalui keterangan saksi TC Lian (Lian Tian Chuan), satu kes prima facie menunjukkan Datuk Azman meminta dan menerima rasuah?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Adakah anda siasat lagi Datuk Azman selepas kes ini (Janawibawa)?
Saksi: Tidak.
Peguam: Kes terhadapnya (Datuk Azman) telah ditutup?
Saksi: Tidak pasti.
Dalam keterangannya, Mazery turut ditanya berkenaan individu bernama Adam Radlan Adam Muhammad.
Saksi berkata, beliau mengenali Adam Radlan yang juga bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut namun tidak terlibat dalam siasatan terhadapnya.
Menurut saksi, beliau juga tidak mengetahui sama ada Adam Radlan melalui syarikatnya Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. menerima RM2 juta dari ahli perniagaan, TC Lian atau syarikat Nepturis Sdn. Bhd. berkaitan projek Janawibawa.
Mazery juga berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Adam Radlan pernah membantu TC Lian mendapatkan projek bagi pihak Nepturis.
Mazery juga ditanya tidakkah sesuatu yang pelik apabila Adam Radlan didakwa di mahkamah kerana menerima RM2 juta walhal Azman tidak didakwa menerima wang RM1 juta, namun perkara itu tidak dipersetujui oleh saksi berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















