Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said menyampaikan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR:  Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf sekiranya ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini, telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.

Katanya, beliau juga menerima perkara itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan sesuatu pandangan pada masa hadapan.

Tambahnya, beliau menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Terdahulu, Noorazli berkata, beliau mengambil maklum reaksi dan pandangan yang timbul berhubung kisah jenaka paderi dan biarawati dikongsikan ketika berucap pada PAU 2026 itu.

Jelasnya, kisah tersebut digunakan semata-mata sebagai satu analogi untuk mengambil pengajaran tentang pentingnya fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.

“Ia sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Noorazli, beliau memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

“Semoga penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, pelbagai pihak hari ini mendesak Noorazli memohon maaf secara terbuka susulan ucapannya yang menyentuh mengenai jenaka paderi dan biarawati ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2026, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here