Halim (kiri) menunjukkan telaga yang diusahakan sendiri oleh penduduk Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang untuk menampung bekalan air sebagai keperluan harian mereka.

KLUANG – Kira-kira 200 penduduk Kampung Orang Asli Sedohok di sini berharap projek bekalan air bersih terawat yang disambung semula sejak bulan lalu, dapat disiapkan mengikut jadual iaitu dapat digunakan dua tahun lagi.

Penduduk daripada 56 keluarga itu bimbang projek berkenaan tertangguh lagi kerana pengalaman menunggu selama kira-kira 13 tahun selepas projek sama diluluskan pada 2013 terhenti tanpa diketahui sebabnya.

Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari berkata, penduduk terpaksa menggunakan bekalan yang dihantar secara berkala selain air dari telaga buatan sendiri penduduk untuk kegunaan seharian.

“Pada ketika ini, penduduk hanya menerima bekalan air bersih secara berkala dibekalkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan penduduk perlu menyediakan sendiri tong untuk menyimpan air yang dibekalkan itu.

“Bagi menampung bekalan itu, tiga buah perigi yang mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kebolehgunaan airnya digunakan oleh penduduk untuk kegunaan harian seperti membasuh pakaian atau mandi.

Penduduk Kampung Orang Asli Sedohok menunjukkan tong yang digunakan untuk menyimpan air dibekalkan oleh Jakoa.

“Air dibekalkan oleh Jakoa sebagai kegunaan memasak makanan, jika kehabisan air penduduk akan ke Pekan Kahang untuk membeli air daripada mesin atau air mineral bagi menampung bekalan air bersih terawat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sehubungan itu, katanya, mereka amat menghargai komitmen kerajaan membantu menyediakan kemudahan kepada Orang Asli dan berharap projek bekalan itu lancar dan boleh diguna dalam tempoh ditetapkan.

Halim berkata, projek sama bukan hanya akan dapat dinikmati penduduk kampung tetapi murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Sedohok yang terletak bersebelahan kampung turut mendapat manfaatnya.

“Pada masa ini, murid di sekolah itu juga menggunakan kemudahan sama diperolehi penduduk,” katanya yang meletak harapan tinggi projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dapat direalisasi tanpa ‘gangguan’.

Untuk rekod, sebelum ini Kampung Orang Asli Sedohok pernah menggunakan perigi tiub sebagai keperluan utama bekalan air, namun terhenti kerana terputus bekalan air bawah tanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here