KUANTAN – Seorang penghantar barang ditahan selepas disyaki memiliki dadah dan objek menyerupai pistol di kawasan Paya Keladan, di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tangkapan berjaya dilakukan setelah serbuan pada 12 September lepas.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan 15 mililiter (ml) cecair ‘vape’ disyaki dadah berbahaya jenis MDMA dan 6.15 gram serbuk kristal disyaki dadah Methamphetamine bernilai anggaran RM1,022.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek kemudian menemukan sepucuk senjata api palsu menyerupai pistol dipercayai milik suspek yang disorok di bawah kerusi pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang berusia 29 tahun itu juga didapati positif dadah.
Berikutan itu, Mohd Nasyim berkata, suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 15 September ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dan sebatan maksimum sembilan kali jika sabit kesalahan.
“Selain itu, suspek juga disiasat dibawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman setahun penjara atau denda kerana memiliki senjata api,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















