MELAKA – Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedang bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk menjadikan Kompleks Falak Al-Khwarizmi, Tanjung Bidara di sini sebagai Kluster Astronomi di negara ini.
Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kluster berkenaan akan memberi banyak kelebihan kepada kompleks itu dan manfaat kepada negeri Melaka.
Katanya, pengiktirafan itu akan mengubah kompleks tersebut daripada sekadar lokasi cerapan kepada pusat kecemerlangan serantau yang menyatukan bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan dan astronomi..
“Kita sedang dalam proses perbincangan dengan MYSA untuk menjadikan kompleks ini sebagai Kluster Astronomi di dalam pembangunan aeroangkasa di Malaysia.
“Kluster ini akan membawa teknologi terkini apabila kompleks ini menjadi pusat pengumpulan data aeroangkasa untuk disalurkan kepada MYSA dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan penutup Karnival Falak peringkat kebangsaan 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kompleks Falak Al-Khawarizmi di sini malam tadi.

Menurut Ab Halim, sebagai Kluster Astronomi, kompleks berkenaan bakal menjadi pusat rujukan tunggal ilmu falak yang menyatukan balai cerap, planetarium, pusat latihan dan penyelidikan.
“Ia bakal menjadi pusat rujukan kebangsaan cerapan hilal, penentuan waktu solat, arah kiblat dan kalender hijrah sekali gus
menjadi destinasi pelancongan astronomi serantau yang dapat menarik pelawat tempatan luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Abdul Halim, kerajaan negeri akan mengangkat ilmu falak sebagai antara silibus dan elemen dalam agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pendekatan itu diperkenalkan bagi memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar mengenai ilmu falak yang mempunyai kaitan rapat dengan matematik, sains, teknologi dan aeroangkasa selain aspek agama.
Jelas beliau, antara pendedahan TVET yang diperkasakan adalah seperti teknologi dron dan kemahiran teknikal kepada pelajar.
“Pembangunan ilmu falak ini kita telah masuk dalam pembangunan TVET bagi Kerajaan Melaka. Kita bawa kerana pendedahan ini akan membantu pelajar untuk meningkatkan kemahiran penggunaan dan penghayatan kepada ilmu astronomi.
“Ilmu ini ada kaitan dengan matematik, sains, teknologi dan ilmu aeroangkasa selain mempunyai kaitan dengan agama berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi Muhamad SAW,” katanya. – MalaysiaGazzette
















