KUALA LUMPUR – Selepas lebih 30 tahun beroperasi menerusi perkhidmatan kaunter, penyedia perkhidmatan kewangan Malaysia, Moneywave kini memasuki fasa baharu dengan membuka ibu pejabat di Wisma MCA di Jalan Ampang.
Ia menyediakan gabungan perkhidmatan fizikal dan digital menerusi pendekatan phygital.
Pembukaan ibu pejabat berkenaan menjadi langkah penting dalam usaha Moneywave mengembangkan perkhidmatan pertukaran mata wang, kiriman wang dan penyelesaian kewangan untuk perniagaan di samping membangunkan platform digital memenuhi keperluan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Moneywave, Aiman Kallahan berkata, pengalaman lebih tiga dekad dalam industri memberikan syarikat pemahaman lebih mendalam mengenai keperluan pelanggan.
Menurut beliau, transformasi dibawa Moneywave bukan sekadar pendigitalan perkhidmatan sebaliknya menggunakan teknologi untuk menjadikan urusan pelanggan lebih mudah tanpa menghapuskan nilai perkhidmatan secara bersemuka, katanya dalam kenyataan.
Moneywave bermula sebagai sebuah kaunter pertukaran mata wang di Pandan Indah, Ampang sebelum berkembang kepada penyedia perkhidmatan yang merangkumi pertukaran mata wang, kiriman wang dan penyelesaian untuk perniagaan.
Kini syarikat itu memperluaskan model berkenaan dengan menggabungkan akses fizikal dan digital di bawah pendekatan phygital.
Antara konsep yang diperkenalkan ialah first mile digital, last mile physical yang membolehkan pelanggan memulakan urusan secara digital sebelum melengkapkannya di cawangan fizikal.
Pada masa akan datang, katanya, pelanggan berpotensi membuat persediaan transaksi menerusi telefon termasuk mendapatkan maklumat kadar pertukaran sebelum hadir ke kaunter untuk menyelesaikan urusan.
Dalam perkembangan sektor kewangan yang semakin menuju ke arah digital, Moneywave melihat perkhidmatan fizikal masih mempunyai peranan penting terutama bagi pelanggan yang memerlukan penerangan secara langsung atau lebih selesa menggunakan tunai.
Pembukaan ibu pejabat baharu di Wisma MCA menjadi sebahagian daripada strategi syarikat untuk memasuki fasa pertumbuhan seterusnya dengan teknologi berperanan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan manusia bukan sebagai penggantinya. – MalaysiaGazette
















