Logo Petronas

BANGKOK – – PC JDA Limited (PC JDA), anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali), bersama PTTEP JDX Thailand Ltd. Co dan PTTEP JDX Thailand (JDA) Limited (secara kolektif PTTEP JDX), menerima kelulusan Kerajaan Malaysia dan Thailand bagi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu untuk Blok A-18-01 di kawasan pembangunan bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

Pihak-pihak berkenaan menandatangani Perjanjian Jual Beli Gas (GSA) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan PTT Public Company Limited, bagi menyokong kesinambungan bekalan gas asli dari blok berkenaan kepada kedua-dua negara.

Menurut Petronas, majlis pertukaran dokumen perjanjian hari ini antara MTJA, PC JDA dan PTTEP JDX memeterai rangka kerja kontrak baharu bagi meneruskan pembangunan Blok A-18 selepas PSC semasa tamat pada 20 April 2029, termasuk meneroka kawasan bersebelahan yang berpotensi mempunyai sumber tambahan.

Dengan tempoh selama 35 tahun bermula 1 Januari 2026, PSC baharu bagi Blok A-18-01 merangkumi kawasan Blok A-18 sedia ada serta kawasan baharu tambahan.

PSC tersebut menyediakan platform bersepadu bagi mengekalkan pengeluaran, meneroka potensi sumber tambahan dan mengoptimumkan pembangunan jangka panjang blok berkenaan.

Pengarah PC JDA, Ainoor Abizzurin Abdullah berkata, kelulusan PSC baharu itu membuka fasa pembangunan seterusnya bagi Blok A-18-01, selain mencerminkan iltizam berterusan dan kerjasama kukuh antara Malaysia dan Thailand.

“Sebagai antara sumber utama gas asli dan kondensat bagi kedua-dua negara, pencapaian ini mengukuhkan komitmen bersama untuk memaksimumkan nilai melalui peningkatan monetisasi sumber serta sinergi operasi,” katanya.

MTJDA meliputi kawasan kira-kira 7,250 kilometer persegi dan terdiri daripada Blok A-18-01 serta B-17-01, yang mempunyai kapasiti pengeluaran gas asli gabungan kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari, dengan pengagihan sama rata kepada Malaysia dan Thailand.

Blok A-18-01 merangkumi medan gas Cakerawala, Bumi, Suriya, Bulan, South Bulan, Senja, East Bumi, Samudra dan Wira, termasuk kawasan terbuka.

Sementara itu, Blok B-17-01 merangkumi medan gas Muda, Tapi, Tanjung, Amarit, Jengka, Melati dan Andalas.

PSC baharu itu turut mengukuhkan komitmen Petronas Carigali untuk melabur dalam aset strategik serta meneruskan pertumbuhan mampan demi menjamin keselamatan tenaga serantau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here