KOTA BHARU – Mat Moto Day Volume 2 yang diadakan pada 9 dan 10 Oktober depan di Lembah Sireh di sini bukan sekadar menghimpunkan puluhan ribu peminat motosikal.
Program itu kali ini tampil dengan tarikan lebih besar apabila menawarkan sebuah rumah bernilai RM450,000 sebagai hadiah cabutan bertuah.
Selain rumah, sebuah kereta Mercedes-Benz dan pelbagai hadiah menarik lain turut disediakan dengan keseluruhan nilai hadiah mencecah RM1 juta.
Penganjur Mat Moto Day, Muhammad Arif Mustapa berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 motosikal pada edisi kedua selepas acara sulung tahun lalu berjaya menarik lebih 60,000 peserta.

“Pada penganjuran pertama, kita mencapai sasaran dengan lebih 60,000 peserta hadir. Jadi pada kali kedua ini, kami percaya sasaran 100,000 peserta mampu dicapai,” katanya pada sidang media selepas majlis serahan penajaan Mat Moto Day Volume 2 hari ini.
Bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah, peserta hanya perlu membeli sehelai baju rasmi Mat Moto Day yang mula dijual esok hingga 9 Oktober.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Emas Seri Semantan Sdn Bhd, Shaaini Md Jumaat berkata, KESS menyumbang RM1 juta sebagai penaja utama bagi menjayakan penganjuran Mat Moto Day Volume 2.
Sokongan itu bukan sahaja bertujuan membantu penganjuran, malah membuka ruang kepada KESS mendekati komuniti permotoran khususnya golongan muda, katanya.
“Kita nak meraikan komuniti permotoran negara tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur, sejajar hasrat KESS memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan peminat motosikal,” katanya.
Menurut Shaaini, penglibatan KESS turut memberi peluang kepada golongan muda mendapatkan pendedahan mengenai pengurusan dan penyimpanan emas menerusi booth yang disediakan sepanjang acara.
Mat Moto Day Volume 2 dijangka menampilkan pelbagai aktiviti sepanjang dua hari penganjuran, selain menawarkan peluang kepada peserta membawa pulang hadiah utama. – MalaysiaGazette
















