Datuk Hasry Sham Chasmen. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak seharusnya menjadikan isu pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) sebagai senjata politik untuk menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana pernah didakwa, apatah lagi dihukum melalui persepsi politik sebelum proses undang-undang selesai.

Beliau berkata, jika prinsip kedaulatan undang-undang benar-benar dihormati, semua pihak perlu membiarkan proses kehakiman berjalan tanpa tekanan atau campur tangan politik.

“Jangan pada satu ketika menyeru supaya institusi kehakiman dihormati, tetapi pada ketika yang lain menggunakan proses perundangan yang masih berjalan sebagai modal untuk membina persepsi politik terhadap seseorang.

“Pemuda UMNO Ampang tidak meminta sesiapa diberikan layanan istimewa. Apa yang kami tuntut hanyalah keadilan yang sama untuk semua,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Hasry berkata, kenyataan AMK berhubung isu DNAA itu amat mengecewakan, lebih-lebih lagi ketika UMNO semakin lantang menyatakan pendirian serta hala tujunya sendiri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurutnya, politik tidak seharusnya digunakan untuk menghukum seseorang melalui tajuk berita, kenyataan politik atau persepsi awam sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Jangan hukum sebelum mahkamah menghukum,” katanya.

Beliau turut menegaskan UMNO mempunyai hak untuk menentukan hala tuju politiknya sendiri, termasuk siapa yang hendak diketengahkan sebagai calon kepimpinan dan dengan parti mana UMNO mahu bekerjasama selepas PRU16.

Hasry berkata, kesetiaan UMNO kepada Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu menyerahkan hak untuk bersuara atau menentukan masa depannya sendiri.

“UMNO berkawan dengan ikhlas, tetapi UMNO tetap mempunyai maruah dan pendiriannya sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here