KULIM – Seorang wanita maut selepas ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech di sini, malam tadi.
Mangsa, S. Sila, 39, dikatakan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kulim oleh keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, suspek berusia 43 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Lunas sebelum pihak polis melakukan tangkapan kira-kira jam 9 malam.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di dalam bilik tidur utama rumah teres setingkat yang didiami mangsa, suspek dan anak mereka berusia tiga tahun.
“Suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.
“Selepas kejadian, suspek yang merupakan penganggur itu mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkannya kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa beliau telah menikam isterinya sebelum menyerah diri di balai polis serta menyerahkan pisau lipat berukuran 20 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Syamsul, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa berkaitan isu cemburu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil.
“Temu bual awal dengan jiran mendapati mereka tidak mendengar pertengkaran dipercayai akibat hujan lebat ketika kejadian.
“Ujian air kencing suspek didapati negatif dan semakan mendapati tiada rekod lampau.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















