ALOR GAJAH – Rangka dan tengkorak yang ditemukan dalam tong berisi simen di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, Machap Baru, di sini, Ahad lalu, disahkan sebagai kes bunuh.
Difahamkan, pemeriksaan turut menemukan pakaian lengkap bersama mangsa, termasuk kain, baju dan seluar.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kes diklasifikasikan bunuh selepas hasil awal proses bedah siasat yang memasuki hari ke dua hari ini mengesahkan tulang dan tengkorak berkenaan adalah manusia.

“Bagaimanapun, jantina mangsa serta punca kematian masih belum dapat dikenal pasti dan pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat yang bersambung hari ini.
“Kes diklasifikasikan sebagai kejadian bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan penemuan rangka itu pada kira-kira jam 11.40 pagi selepas tiga pemancing mencurigai sebuah tong biru di tepi empangan itu kira-kira 15 meter dari aras jalan.

Mereka kemudian memotong sedikit bahagian tong bagi mengetahui kandungan di dalamnya sebelum menyedari terdapat objek dipercayai tulang dan membuat laporan polis.
Pemeriksaan awal polis yang tiba di lokasi mendapati bahagian atas tong mempunyai kesan simen, manakala tengkorak ditemukan sudah terlerai dan tiada tisu melekat pada tulang.
Tong berkenaan kemudiannya diangkat ke jalan dengan bantuan bomba sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat. – MalaysiaGazette
















