KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang mengetuai pelajar Tingkatan Enam ketika melakukan aktivti pendakian ditemukan meninggal dunia di Hutan Simpan Ulu Tamu, Batang Kali, Selangor, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.35 tengah hari.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jarak 22 kilometer.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun ditemukan pengsan ketika mengetuai pelajar Tingkatan Enam melakukan aktiviti pendakian.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerja membawa turun mangsa dilakukan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















