KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memohon kementerian dan agensi penguatkuasaan berkaitan meneliti ucapan seorang perwakilan UMNO melibatkan jenaka berkenaan paderi dan biarawati pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menurutnya, siasatan sewajarnya perlu dijalankan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan [Akta 574] serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Katanya, walau apa sekalipun niat di sebalik sesuatu analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, para agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh.
Sambil memandang serius kontroversi itu, beliau mengingatkan terdapat batas yang mesti dihormati dalam sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan kepercayaan.
“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan.
“Perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan penganut agama serta menjejaskan keharmonian yang telah kita bina bersama selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Aaron, kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak pernah bermaksud kita bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain.
Katanya, prinsip itu mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik.
Jelasnya, beliau mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf dan berharap perkara itu menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, penceramah dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan kepercayaan.
“Ini juga selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan, yang menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam negara yang berbilang agama dan budaya, prinsip ini bukan sekadar ungkapan, tetapi asas penting untuk memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti dipelihara dan keharmonian terus dipertahankan,” katanya.
Terdahulu, pelbagai pihak mendesak Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said memohon maaf secara terbuka susulan ucapannya yang menyentuh mengenai jenaka paderi dan biarawati ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2026, Sabtu lalu.
Susulan itu, Noorazli semalam dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf sekiranya ucapannya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian. – MalaysiaGazette
















