Ismail Ali masih membersihkan sisa runtuhan rumahnya yang terbakar di Kampung Baru Cendering, Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Rumah yang didiami sendirian lebih 30 tahun lalu kini tinggal memori buat seorang warga emas yang juga pesara tukang kebun sekolah selepas ia musnah dalam kebakaran malam tadi.

Ketika ditemui di tapak rumahnya di Kampung Baru Cendering, di sini, hari ini, Ismail Ali, 75, dilihat masih gigih membersihkan sendirian bekas runtuhan akibat kebakaran di tapak rumah separa kekal dua tingkat itu.

“Kena bersihkan ni (sisa atap dan kayu). Nanti ganggu kawasan rumah sebelah,” katanya ringkas.

Ismail Ali, 75 ketika ditemui di rumahnya yang terbakar malam tadi di Kampung Baru Cendering, Kuantan.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 9.49 malam tadi di mana pihak bomba yang berjaya mengawal kebakaran sejam kemudian memaklumkan bahawa rumah itu 90 peratus telah hangus terbakar.

Sementara itu, anaknya, Abdul Hadi Ismail, 38, memberitahu bahawa ayahnya itu tidak banyak bercakap dan lebih suka menyendiri.

Disebabkan itu, sejurus menerima panggilan daripada jiran terdekat kira-kira jam 10 malam tadi mengatakan berlaku kebakaran, dia yang tinggal di Kampung Sepakat bergegas untuk memastikan keselamatan ayahnya.

“Ketika saya sampai, pihak bomba dah sampai sedang padam kebakaran. Ketika itu, api masih marak. Abah dah di luar duduk dengan jiran. Keadaan dia nampak terkejut dan trauma, tapi mujur tak cedera.

“Abah beritahu, ketika itu dia sedang duduk di luar rumah di beranda. Dia sedar ada kebakaran dari dalam rumah dan terus dapatkan bantuan jiran untuk padam kebarakan dan telefon bomba. Abah tiada telefon sendiri,” katanya.

Abdul Hadi Ismail

Abdul Hadi berkata, dia sudah beberapa kali mengajak ayahnya itu tinggal bersama kerana memikirkan keselamatan warga emas itu sendirian, namun ditolak.

Justeru, katanya dia akan memikirkan alternatif lain bagi memastikan keselamatan dan kebajikan ayahnya itu terus terjaga.

“Buat masa ini, abah kata nak tinggal di bilik yang dibina berasingan di tapak ini. Nantilah, kami adik beradik akan pujuk lagi.

“Ralat juga sebab banyak kenangan saya membesar di sini sebelum mak dan abah berpisah,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Yarmizi Yahaya turut hadir menyantuni dua beranak itu di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan bagi menampung keperluan Ismail dengan segera.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Panching, Mohd Yarmizi Yahaya

“Cuma saya nak pesan. Disebabkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan ni acapkali berlaku kebakaran terutama melibatkan rumah kayu.

“Periksa semula pendawaian dalam rumah yang lama, tukar baharu. Keduanya, kalau boleh semua rumah perlu sediakan alat pemadam kebakaran di rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here