PUTRAJAYA – Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan pelaburan direalisasikan secara kumulatif sebanyak RM343.8 bilion pada 2025, melebihi sasaran RM146.5 bilion bagi tempoh berkenaan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian itu turut menunjukkan peningkatan sebanyak RM126.2 bilion berbanding pencapaian sebelumnya.
Katanya, prestasi berkenaan memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa sasaran pelaburan kumulatif NCER sebanyak RM470 bilion menjelang 2030 mampu dicapai.
“Ia berdasarkan trend peningkatan. Memang nampak ambitious (bercita-cita tinggi), tetapi kita melihat dan mempertimbangkan 2025 yang melebihi sasaran apa yang kita capai.
“NCER pada peringkat ini berperanan memastikan sasaran ini dicapai, mungkin mengambil masa sebab itu kita lihat potensi wilayah utara ini,” katanya ketika melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 di Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, prestasi NCER pada 2025 turut menunjukkan perkembangan positif dari segi sumbangan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan.
Beliau berkata, KDNK yang dicapai menerusi NCER pada 2025 berjumlah RM284.8 bilion, sedikit rendah berbanding sasaran RM300 bilion, namun masih menunjukkan pencapaian memberangsangkan.
Katanya, prestasi peluang pekerjaan pula mencatatkan 232,342 secara kumulatif, melebihi sasaran sebanyak 71,144.
“Pendapatan isi rumah (penengah) adalah RM5,372, sasaran pula adalah RM5,560.
“Usahawan yang menerima manfaat secara kumulatif adalah 43,880, melebihi sasaran iaitu 40,299,” katanya.
Menurutnya, pencapaian berkenaan menunjukkan pelaksanaan pembangunan NCER terus memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak.
Katanya lagi. pencapaian sepanjang 2025 itu turut menjadi asas kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang menetapkan sasaran lebih tinggi bagi tempoh akan datang. – MalaysiaGazette
















