KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap pegawai penyiasat kes Janawibawa ekoran laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kebocoran dokumen yang dirahsiakan.
Laporan polis itu dibuat agar polis menyiasat bagaimana rakaman percakapan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad dalam kes berlainan, berada dalam milikan pasukan pembelaan, walhal dokumen itu didakwa tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, laporan tersebut yang kemudiannya disiarkan oleh pihak media merujuk kepada beliau, dilihat sebagai satu percubaan untuk mencemar imejnya selaku salah seorang peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri.
Beliau memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap Ketua Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd. Zaini kerana didakwa telah melanggar arahan mahkamah agar tidak membincangkan butiran perbicaraan di luar prosiding.
Menurut Amer Hamzah, pasukan pembelaan turut menimbang untuk mengenakan tindakan undang-undang lain atas dakwaan membuat laporan polis palsu.
Peguam turut mempersoal individu yang membuat laporan tersebut sama ada beliau merupakan sebahagian daripada pasukan siasatan yang mendapat arahan daripada Mazery selaku pegawai penyiasat.
“Beliau sudah berkali-kali diingatkan oleh mahkamah supaya jangan membincangkan butiran perbicaraan di luar prosiding kerana masih dalam sumpah sebagai saksi.
“Laporan polis tersebut kemudian `sampai’ kepada pengetahuan pihak media dan disiarkan. Siapa yang beri laporan polis itu? Adakah pihak SPRM mahu mencemar nama saya?
“Saya tahu saya bukanlah terlalu lama beramal seperti peguam-peguam kanan yang lain, namun mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan taktik sebegini.
“Laporan polis ini dibuat oleh pegawai lain, walhal beliau tiada di mahkamah ketika perbicaraan semalam. Bagaimana beliau mengetahui apa yang berlaku di mahkamah jika tidak diberitahu oleh pihak lain?
“Saya menganggap laporan polis ini telah mencemar nama saya selaku peguam yang mewakili Tan Sri Muhyiddin. Bukan saya yang dibicarakan di sini,” ujarnya.
Amer Hamzah membangkitkan isu laporan itu pada awal prosiding perbicaraan kes Janawibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan Mazery selaku saksi pendakwaan ke-29 pada sesi pemeriksaan semula.
Sementara itu, Mazery mengemukakan permohonan maaf berhubung laporan polis tersebut sambil menjelaskan tindakan itu diambil kerana bimbang dokumen itu diedarkan oleh pegawai SPRM sendiri.
“Saya takut kebocoran dokumen itu melibatkan integriti pegawai SPRM sendiri dan tidak mahu dokumen penting dikeluarkan sewenang-wenangnya pada masa hadapan.
“Pernyataan saksi tersebut (Adam Radlan) tiada kena mengena dengan siasatan yang dilakukan dalam kes Janawibawa. Tindakan saya hanyalah untuk menjaga imej jabatan saya sendiri.
“Jika siasatan mendapati tiada kebocoran berlaku, laporan itu boleh ditarik balik. Saya mohon maaf jika pihak peguam merasakan ia merosakkan imejnya,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon sesi pemeriksaan semula terhadap Mazery ditangguhkan bagi membolehkan pegawai itu menyemak status laporan polis tersebut.
Menurut beliau, Mazery sudah menjelaskan kepada mahkamah tujuan laporan itu dibuat dan turut menyatakan kesediaannya menarik balik laporan sekiranya siasatan mendapati tiada kebocoran daripada SPRM.
“Anggapan bahawa laporan polis sebagai satu bentuk intimidasi terhadap pihak pembelaan adalah keterlaluan. Saya rasa ini terlalu jauh,” katanya.
Dalam pada itu, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin berkata, mahkamah mengambil serius mengenai perkara itu kerana Mazery masih dalam proses memberi keterangan di mahkamah.
Mahkamah kemudian mengarahkan Mazery membuat semakan dengan jabatannya bagi mengesahkan status laporan polis yang dibuat oleh SPRM.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Seri Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















