Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030, dengan 70 peratus daripadanya dijangka dipacu oleh sektor bernilai tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), automotif, pelancongan bernilai tinggi serta pertanian moden.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu antara matlamat utama yang digariskan menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030.

Beliau berkata, pelan berkenaan turut menetapkan sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara kepada RM369 bilion, selain mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti.

Daripada jumlah itu, 45 peratus pekerjaan disasarkan membabitkan bidang berkemahiran tinggi, manakala pendapatan isi rumah median pula diunjur meningkat kepada RM7,500.

“Pelan ini bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi merupakan pemangkin utama dalam memacu NCER sebagai peneraju pelaburan perindustrian bernilai tinggi dan hab global penyelidikan, pembangunan, komersialisasi, serta teknologi dan inovasi (R&D&C&T&I).

“Sasaran-sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan komitmen untuk memastikan setiap ringgit pelaburan yang masuk diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 di Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.

Menurut Akmal, pelan berkenaan menjadi manifestasi komitmen kerajaan untuk menterjemahkan wawasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di peringkat wilayah secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Katanya, empat teras utama digariskan bagi memacu pencapaian sasaran itu, iaitu meningkatkan keupayaan, memacu inovasi, mengupayakan pertumbuhan dan memanfaatkan kelebihan wilayah.

“Keempat-empat teras ini disokong 15 strategi dan 21 inisiatif yang dirangka bagi memastikan agenda pembangunan NCER sepanjang tempoh RMK13 terlaksana secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata, pelan berkenaan turut memberi penekanan kepada pertumbuhan yang lebih seimbang antara negeri serta kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, usaha itu akan diperkukuh menerusi peningkatan produktiviti sektor utama, pemerkasaan rakyat dan bakat, pengukuhan infrastruktur serta kesalinghubungan.

“Selain itu, aspek pemacuan inovasi, penambahbaikan jaringan sosial dan pemeliharaan alam sekitar turut diberi keutamaan bagi memastikan pembangunan ekonomi wilayah berjalan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Akmal berkata, beberapa projek jangka panjang dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan landskap ekonomi Wilayah Utara, termasuk Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), Hab Logistik dan Pembuatan Termaju Sidam (SLAM), Bandar Getah Kedah (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).

Pembangunan kawasan perindustrian Bagan Datuk, Penang Silicon Island serta zon ekonomi sempadan utara Semenanjung turut diberi tumpuan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, NCER akan memperkukuh penyelarasan kerjasama rentas kerajaan, kementerian dan agensi bagi memastikan kemasukan pelaburan menghasilkan limpahan ekonomi lebih luas.

“Berdasarkan pencapaian memberangsangkan yang direkodkan NCER dalam RMK12, sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 ini telah melangkaui sasaran dalam RMK13 untuk Wilayah Utara.

“Dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan, saya yakin NCER mampu memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dan hab teknologi bertaraf dunia, demi merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan NCER bukan hanya tertumpu kepada menarik pelaburan, sebaliknya menghubungkan pelaburan dengan bakat, teknologi, perusahaan tempatan dan rantaian bekalan bagi menghasilkan nilai ekonomi lebih besar kepada wilayah serta rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here