Anggota tentera laut AS menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di dek penerbangan kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln (CVN 72), ketika berada di laut pada 15 April 2026.

WASHINGTON – Pemeriksa Agung Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa negara ini berdepan kekurangan bekalan peluru susulan perang yang menelan kos tinggi di Iran.

Dalam laporan mandatori pertama seumpamanya kepada Kongres, pemeriksa berkenaan berkata, antara 28 Februari hingga 30 Jun, Operasi Epic Fury (OEF) dianggarkan menelan kos AS$33.4 bilion (RM140.8 bilion), dengan AS$22.3 bilion (RM94 bilion) dibelanjakan untuk penggunaan peluru semata-mata.

Laporan itu menyatakan, “penggunaan peluru dalam OEF telah menyebabkan kekurangan inventori strategik serta mendedahkan kesesakan dalam asas perindustrian bagi proses pengisian semula bekalan peluru.”

Ia turut menyenaraikan kerugian yang dialami tentera AS, termasuk empat jet pejuang F-15 musnah, sebuah F-35 rosak, tujuh pesawat tangki KC-135 rosak dan sehingga 30 dron MQ-9 Reaper musnah.

Presiden Donald Trump sebelum ini berulang kali menolak kebimbangan mengenai penyusutan stok persenjataan sepanjang perang selama enam bulan di Asia Barat, dengan berkata, AS mempunyai bekalan peluru yang “hampir tidak terhad” hanya beberapa minggu lalu.

Pada Isnin, Trump sekali lagi menerusi platform Truth Social mendakwa AS menghasilkan “lebih banyak senjata canggih dan elit berbanding bila-bila masa dalam sejarah kita”.

CNN sebelum ini melaporkan kekurangan peluru berpandu berpandu jarak jauh serta pemintas pertahanan udara telah menjejaskan strategi Trump dalam konflik dengan Iran, dengan tentera AS dilaporkan telah “hampir menghabiskan 80 peratus” stok pemintas THAAD.

Dalam tempoh 24 jam pertama perang dengan Iran, AS menyerang lebih 1,000 sasaran, menurut Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), namun serangan berskala besar sedemikian tidak lagi dilakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Laporan itu turut menyatakan, “serangan Iran merosakkan dan memusnahkan ratusan bangunan serta struktur di pangkalan AS di Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iraq, Oman dan Jordan sepanjang konflik.”

Bagaimanapun, kos kerosakan tersebut tidak termasuk dalam anggaran kos perang kerana masih belum jelas sama ada semua pangkalan berkenaan akan dibina semula atau pihak mana yang akan menanggung kosnya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here