TOKYO – Jumlah penduduk Jepun berusia 100 tahun dan ke atas melepasi angka 100,000 buat kali pertama, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.
Tinjauan terbaharu kerajaan yang diterbitkan menjelang cuti umum “Respect for the Aged Day” minggu depan mendapati seramai 107,677 individu berusia 100 tahun dan ke atas direkodkan setakat 1 September lalu.
Menurut kementerian itu, angka berkenaan merupakan jumlah tertinggi sejak rekod mula dikumpulkan pada 1963, sekali gus menjadikan 2026 tahun pertama bilangan centenarian di negara itu melepasi paras 100,000.
Kira-kira 90 peratus daripada golongan berkenaan adalah wanita.
Jumlah penduduk berusia 100 tahun dan ke atas di Jepun turut mencatat rekod tertinggi untuk 56 tahun berturut-turut.
Dengan umur median penduduknya mencecah 49.9 tahun, Jepun mempunyai populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco, menurut data Bank Dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, data yang dikeluarkan pada Jun lalu menunjukkan kadar kesuburan Jepun kembali menurun pada tahun lalu kepada paras terendah baharu.
Keadaan itu mencerminkan krisis demografi yang semakin meruncing di negara berkenaan, ekonomi keempat terbesar dunia.
Krisis tersebut telah menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja, peningkatan beban perbelanjaan keselamatan sosial serta penyusutan asas cukai negara. – Agensi
















