TOKYO – Penginapan bagi kontinjen yang menyertai Sukan Asia di Jepun yang bermula minggu ini disifatkan sebagai “terburuk pernah dialami”, selain berdepan kekurangan bilik yang serius.

Pegawai bola keranjang Korea Selatan mendakwa katil di kabin sementara berbentuk kontena terlalu pendek untuk atlet meregangkan kaki, manakala pegawai Filipina terpaksa mencari Airbnb untuk penginapan.

Sukan Asia kali ini tidak menyediakan perkampungan atlet khusus, sebaliknya penganjur menggunakan kapal persiaran, kabin kayu sementara dan hotel bagi mengurangkan kos penganjuran.

Sukan Asia di bandar Nagoya dan wilayah Aichi itu akan dibuka secara rasmi Sabtu ini, namun beberapa acara termasuk bola sepak dan bola keranjang sudah bermula.

Naib Presiden Persatuan Bola Keranjang Korea, Jung Jae-yong berkata, beliau amat tidak berpuas hati dengan keadaan kabin yang menjadi penginapan pasukan bola keranjang lelaki Korea Selatan.

“Berdasarkan pengalaman saya, ini adalah yang terburuk pernah berlaku.

“Atlet yang mempunyai ketinggian lebih dua meter pun tidak dapat meluruskan kaki di atas katil. Ini tidak munasabah,” katanya kepada AFP.

Pemain bola keranjang Korea Selatan, Byeon Jun-hyeong turut memuat naik video di media sosial yang menunjukkan sinki bocor sehingga lantai kabinnya dipenuhi air.

“Please help us,” tulisnya pada kapsyen video berkenaan.

Kabin terbabit dijangka menempatkan kira-kira 2,000 atlet dan pegawai sepanjang temasya yang berlangsung lebih dua minggu.

Malah, pegawai sukan India begitu bimbang dengan keadaan kabin itu sehingga mereka membina replika kabin berkenaan bagi membolehkan atlet negara itu membiasakan diri sebelum tiba di Jepun.

Jung turut mendakwa penganjur gagal memberikan maklum balas terhadap kebimbangan yang dibangkitkan Korea Selatan.

“Penganjur masih belum berkata apa-apa. Kami amat bimbang dan sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea mengenai tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Minggu lalu, ratusan atlet terpaksa dipindahkan sementara dari penginapan masing-masing selepas Nagoya dilanda hujan lebat luar biasa.

Lebih 17,000 atlet dan pegawai dijangka menyertai temasya itu, jumlah yang lebih tinggi berbanding Sukan Olimpik.

Penganjur tempatan pada awalnya menjangkakan kira-kira 15,000 peserta, namun pada bulan lalu mengakui mereka “tidak mempunyai tenaga kerja mahupun bajet” untuk menangani peningkatan jumlah peserta.

Majlis Olimpik Asia (OCA) kemudian memberi jaminan semua peserta akan disediakan tempat penginapan.

Bagaimanapun, seorang pegawai Jawatankuasa Olimpik Korea Selatan mengakui masalah penginapan masih berlaku hanya beberapa hari sebelum temasya bermula.

“Ketika ini terdapat kekurangan penginapan yang serius bukan sahaja untuk keseluruhan kontinjen Korea Selatan ke Sukan Asia, malah bagi kontinjen dari seluruh dunia di kawasan Aichi-Nagoya.

“Kami melakukan segala yang termampu untuk menyelesaikan isu ini dan memastikan masalah seperti ini tidak berlaku,” katanya.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Abraham Tolentino pula berkata, semua atlet negaranya telah diberikan bilik.

Namun, sebahagian pegawai termasuk jurulatih dipindahkan ke hotel berbeza dan Airbnb.

Kapal persiaran Itali, Costa Serena dijadual tiba di Nagoya Selasa ini, akan menempatkan antara 4,000 hingga 5,000 atlet.

Peserta lain akan ditempatkan di hotel termasuk di Tokyo, lokasi acara renang, terjun dan ekuestrian. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here