Seorang penguat kuasa KPDN Johor memeriksa sebuah lori membeli diesel dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seelong, Senai, Kulai semalam.

KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mematahkan cubaan sindiket penyelewengan diesel bernilai RM60,660 di sebuah stesen minyak di Jalan Seelong, Senai di sini, semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Sasalinda Pornomo berkata, serbuan hasil maklumat dan risikan itu dilakukan pada pukul 2 petang menerusi Ops Tiris 4.0 melibatkan pemeriksaan sebuah lori membeli diesel dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan statik mendapati lori berkenaan dilengkapi tangki simpanan serta peralatan berkaitan sedang mengisi diesel terus ke dalam tangki simpanan.

Penguat Kuasa KPDN melakukan pemeriksaan sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan mengisi diesel

“Susulan itu pasukan penguat kuasa menahan dan menyita lori berkenaan, empat unit tangki IBC, sebuah flow meter, empat unit pam berserta hos, dua unit telefon bimbit serta cecair yang disyaki diesel berjumlah anggaran 2,400 liter,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu pihaknya merampas 15 fleet card dan lima helai salinan resit atau invois berkaitan pembelian diesel bagi membantu siasatan serta dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi kes tersebut.

“Dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 30-an yang berada dalam lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Selain itu katanya, pemeriksaan dan semakan dokumen turut mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melakukan kesalahan bawah Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan.

Penguat Kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di belakang sebuah lori yang menjalankan aktiviti penyelewengan diesel

Lilis memberitahu, nilai keseluruhan barang yang disita dianggarkan RM60,660.00.

Tambahnya, kes itu disiasat bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat pula yang melakukan kesalahan itu akan didenda tidak lebih RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM5 juta.

Pemeriksaan turut dilakukan terhadap stesen minyak terbabit di Jalan Seelong, Senai, Kulai semalam

KPDN Johor menegaskan,  tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan bekalan barang kawalan, khususnya diesel tidak diseleweng atau disalahgunakan sehingga menjejaskan kepentingan pengguna dan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan diseru menyalurkan aduan dan maklumat melalui saluran rasmi KPDN seperti berikut :Whatsapp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu [email protected] Call Centre 1–800–886-800; daniv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here