Orang ramai membeli-belah di Tun Razak Exchange.

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan 290.1 juta pelawat domestik pada 2025, meningkat 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Seiring peningkatan itu, perbelanjaan pelancongan domestik turut melonjak 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion pada tahun berkenaan.

Pertumbuhan tersebut didorong prestasi positif yang dicatatkan semua negeri dari segi jumlah pelawat domestik dan terimaan pelancongan.

Menurutnya, berdasarkan prestasi mengikut negeri, Selangor merekodkan jumlah pelawat domestik tertinggi iaitu 36.4 juta orang, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 35.1 juta dan Perak dengan 23.6 juta.

Sementara itu, Pahang mencatatkan jumlah ketibaan pelancong domestik tertinggi dengan 11 juta orang, diikuti Selangor (10.6 juta) dan Perak (10.4 juta).

Dari segi terimaan pelancongan domestik, Kuala Lumpur mendahului dengan RM16.9 bilion, diikuti Selangor (RM15.8 bilion) dan Pahang (RM9.8 bilion).

Sebanyak tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan pertumbuhan terimaan pelancongan melebihi kadar pertumbuhan nasional.

Ia membabitkan Putrajaya dengan peningkatan tertinggi sebanyak 31.9 peratus, diikuti Perlis (+20.8 peratus), Kuala Lumpur (+20.1 peratus), Kelantan (+15.4 peratus), Sarawak (+14.9 peratus), Pulau Pinang (+14.4 peratus) dan Labuan (+43.4 peratus).

Dari segi komponen perbelanjaan, membeli-belah kekal sebagai penyumbang utama terimaan pelancongan domestik di peringkat nasional dengan RM44.8 bilion, kata jabatan tersebut.

Kuala Lumpur mencatatkan perbelanjaan membeli-belah tertinggi sebanyak RM7.9 bilion, diikuti Selangor (RM6.7 bilion) dan Sarawak (RM3.6 bilion).

Sementara itu, perbelanjaan makanan dan minuman berjumlah RM19.5 bilion, dengan Selangor mencatatkan terimaan tertinggi sebanyak RM2.5 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM2.3 bilion) dan Perak (RM1.6 bilion).

Pembelian bahan api pula menjadi komponen terimaan ketiga tertinggi dengan jumlah RM16.4 bilion.

Selangor merekodkan perbelanjaan bahan api tertinggi sebanyak RM2.2 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM1.6 bilion) dan Pahang (RM1.4 bilion).

Dari segi tujuan perjalanan, melawat saudara-mara dan rakan menjadi tujuan utama pelawat domestik di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Putrajaya.

Bagaimanapun, perjalanan untuk membeli-belah menjadi tujuan utama di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan, purata tempoh menginap (ALOS) di peringkat nasional turut meningkat kepada 2.56 malam pada 2025, berbanding 2.49 malam pada 2024.

Tujuh negeri mencatatkan ALOS melebihi paras nasional iaitu Sabah (3.15 malam), Sarawak (3.10 malam), Kelantan (2.98 malam), Kedah (2.82 malam), Terengganu (2.76 malam), Johor (2.68 malam) dan Pulau Pinang (2.65 malam).

Berdasarkan profil sosial dan demografi, majoriti pelawat domestik di 11 negeri dan Wilayah Persekutuan terdiri daripada isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan.

Ia membabitkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sarawak, W.P. Kuala Lumpur, W.P. Labuan dan Putrajaya.

Sabah pula merekodkan majoriti pelawat domestik daripada isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM5,000 sebulan, manakala Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis mencatatkan peratusan tertinggi pelawat daripada isi rumah berpendapatan RM1,001 hingga RM3,000.

Bagi semua negeri, kumpulan umur 25 hingga 39 tahun menjadi penyumbang utama kepada pelancongan domestik.

Secara keseluruhan, 2025 menyaksikan pertumbuhan kukuh sektor pelancongan domestik Malaysia dengan peningkatan jumlah pelawat, pelancong serta terimaan di semua negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here