MELAKA – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan menculik seorang isteri orang di Balai Polis Malim, di sini awal bulan ini.
Tertuduh, Lim Jun Wei, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menculik wanita berusia 33 tahun daripada jagaan sah suaminya, ketika wanita terbabit berada di dalam sebuah kereta di Balai Polis Malim kira-kira jam 1.30 tengah hari, 1 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila tertuduh melarikan wanita terbabit yang ketika itu sedang menunggu di dalam kereta sementara suaminya membuat laporan polis di balai berkenaan berhubung kes lain.
Tertuduh bagaimanapun tiba-tiba memasuki kereta mangsa sebelum memecut keluar dari balai polis menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum kereta berhenti di lampu isyarat dan wanita berkenaan diselamatkan orang awam dan polis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili peguam LK Teoh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















