KUALA LUMPUR – Selepas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengesahkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat secara sebulat suara, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pula dikatakan bakal mengambil tindakan perundangan.
Sumber memaklumkan kepada MalaysiaGazette, permohonan injunksi sedang dalam proses, susulan keputusan terbaharu kerajaan negeri berhubung proklamasi berkenaan.
Menurut sumber, kenyataan rasmi berkaitan tindakan tersebut dijangka dikeluarkan pada bila-bila masa namun setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai sama ada permohonan berkenaan telah difailkan di mahkamah.
Perkembangan itu menyusul kenyataan Ismail hari ini yang mengesahkan semua anggota Exco bersetuju dengan keputusan berkaitan proklamasi penurunan takhta tersebut dalam mesyuarat MMK pada 15 September lalu.
BACA: Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar, keputusan kerajaan negeri tak sah – DKU
Ismail turut memaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) diminta meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan sedia ada.
Pendirian kerajaan negeri itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian DKU yang menegaskan Tuanku Muhriz Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
DKU sebelum ini turut menegaskan, keputusan MMK yang mengiktiraf proklamasi penurunan takhta tersebut tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang selain mengingatkan perkara berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta bidang kuasa berkaitan adat Melayu.
Pertikaian berkenaan kini turut berada dalam proses kehakiman di Mahkamah Tinggi Seremban termasuk berkaitan perintah interim yang sebelum ini dikeluarkan mahkamah.
Dengan kerajaan negeri mengesahkan keputusan MMK dan DKU pula mempertahankan kedudukan Tuanku Muhriz, langkah perundangan yang sedang disediakan DKU kini dijangka menjadi perkembangan seterusnya dalam kemelut berkenaan.
Sekiranya permohonan injunksi itu difailkan, perhatian akan tertumpu kepada bentuk perintah yang dipohon serta kesannya terhadap proses pewartaan dan keputusan kerajaan negeri berkaitan proklamasi tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Ismail sahkan keputusan Exco Negeri Sembilan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz















