MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin hampir apabila mengaitkannya dengan tempoh “satu Jumaat lagi”.
Menurutnya, perkara berkenaan bukan lagi rahsia dan pembubaran DUN hanya menunggu masa yang sesuai sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.
“Semua orang tertanya-tanya tentang bilakah DUN Melaka akan dibubarkan. Dia dah bukan jadi satu perkara yang menjadi rahsia, cuma menunggu masa.
“Masa tu saya belum dapat lagi bila. Saya memberikan indikator kepada dari Jumaat ke Jumaat kerana dalam Jumaat ke Jumaat itu kita ada banyak lagi perkara-perkara yang perlu kita selesaikan untuk mentadbir urus Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini hari ini.
Menjawab soalan pemberita sama ada “satu Jumaat lagi” yang dimaksudkan, Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara secara berseloroh berkata, tempoh berkenaan mungkin menjadi petunjuk seterusnya.
“Satu Jumaat sajalah lagi,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu sambil ketawa.
Menurutnya, PRN Melaka tetap akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun tarikh sebenar pembubaran DUN masih belum diumumkan.
“Insya-Allah, pastinya Pilihan Raya Negeri Melaka tetap diadakan dalam masa tempoh yang terdekat. Jadi saya akan panggil, bila saya panggil press (media) tu datanglah,” katanya.
Ab Rauf sebelum ini turut menegaskan, BN akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021 dan menjadikan perkara itu sebagai asas dalam perbincangan kerjasama menghadapi PRN akan datang.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri akan berakhir Disember ini. – MalaysiaGazette
















