Gajah Kelat yang didakwa mengalami penyusutan fizikal ketara di Zoo Tennoji, Jepun.

KUALA LUMPUR – Kesihatan fizikal dan mental gajah jantan DAK di Zoo Tennoji, Jepun didakwa semakin membimbangkan apabila seekor daripadanya, Kelat dilaporkan semakin kurus dan mengalami penyusutan fizikal ketara.

Aktivis Dara, Amoi dan Kelat (DAK), Noraini Abd Khalil Saferi, berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kebajikan gajah berkenaan lebih-lebih lagi apabila Kelat kini diasingkan atas alasan mengalami fasa ‘musth’ atau ‘turun minyak’ beberapa kali dalam tempoh sebulan.

Sehubungan itu, beliau mendesak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan pengurusan Zoo Tennoji segera mendedahkan laporan kesihatan berkala DAK yang sebelum ini dijanjikan kepada umum.

Laporan berkenaan juga perlu dinilai serta dikeluarkan oleh pakar veterinar berkecuali yang diiktiraf bagi memastikan tahap kesihatan dan kebajikan gajah terbabit dapat diketahui secara telus.

“Fenomena musth yang didakwa berlaku secara berulang-ulang atau on-off dalam tempoh sebulan adalah sesuatu yang tidak normal dan tidak sejajar dengan kitaran biologi semula jadi gajah Asia.

“Mengikut kajian sains veterinar, gajah jantan dewasa yang normal dan sihat lazimnya mengalami fasa musth sekali setahun atau paling kerap dua kali setahun bagi sesetengah individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, fasa musth bukan proses yang berlaku secara on-off dalam tempoh beberapa hari atau minggu sebaliknya berlangsung secara berterusan selama beberapa minggu hingga dua hingga empat bulan.

Katanya, satu kitaran musth lengkap merangkumi tiga peringkat berturut-turut iaitu pre-musth selama tiga hingga empat minggu, peak-musth selama empat hingga lima minggu dan post-musth selama empat hingga lima minggu.

“Semasa musth, hormon testosteron gajah meningkat dengan ketara dan keadaan itu boleh menyebabkan gajah kurang tidur, hilang selera makan serta mengalami penurunan berat badan.

“Disebabkan bebanan fizikal tersebut, tubuh gajah tidak mampu daripada segi fisiologi untuk keluar dan masuk fasa musth berkali-kali dalam tempoh sebulan,” katanya.

Noraini berkata, kenyataan bahawa Kelat diasingkan kerana mengalami fasa musth beberapa kali dalam sebulan perlu diperjelaskan berdasarkan penilaian veterinar yang bebas.

Katanya, komuniti aktivis dan pakar berhak mempersoalkan sama ada Kelat sebenarnya masih melalui satu fasa musth yang panjang atau pengasingan itu berpunca daripada masalah kesihatan lain mahupun tekanan persekitaran.

“Keadaan semasa Kelat ini memperlihatkan wujudnya indikasi pengabaian kebajikan gajah-gajah DAK di sana,” tegasnya.

Dalam pada itu, Noraini turut menggesa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil tindakan berhubung keadaan DAK serta menunaikan komitmen yang dinyatakan dalam sidang media khas pada 29 April 2026.

Beliau berkata, menteri terbabit sebelum ini menyatakan kementerian bersedia membawa pulang gajah-gajah berkenaan ke tanah air sekiranya terbukti berlaku pengabaian kebajikan terhadap DAK.

“Bukti pengabaian kebajikan DAK kini semakin nyata hari demi hari. DAK mesti dibawa pulang secepat mungkin seperti yang telah dijanjikan oleh NRES.

“Kami menggesa pihak MPT membatalkan serta-merta perjanjian penempatan itu.

“Jika program usahasama ini benar-benar bermatlamatkan agenda konservasi dan bukannya komersial, pihak MPT digesa merujuk semula ‘exit clause’ (klausa penamatan) dalam kontrak perjanjian untuk memulakan proses pemulangan rasmi,” ujarnya.

Noraini menegaskan, kebajikan haiwan ikonik negara tidak seharusnya dikompromi atas alasan diplomatik atau birokrasi, sebaliknya tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya penilaian bebas mengesahkan wujud masalah kebajikan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here