KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan pertuduhan pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dibuat berdasarkan penilaian profesional terhadap keterangan dan keboleh-buktian serta kepentingan keseluruhan pendakwaan.
AGC dalam kenyataannya malam ini berkata, penilaian tersebut membawa kepada risiko litigasi yang nyata termasuk menjejaskan strategi dan pembuktian pertuduhan lain yang masih dihadapi tertuduh.
“Pihak pendakwaan perlu menilai kepentingan keseluruhan kes dan bukannya mempertahankan pertuduhan secara terasing.
“Tugas pendakwa raya bukan untuk mempertahankan sesuatu pertuduhan pada apa jua keadaan tetapi adalah untuk memastikan hanya pertuduhan yang mempunyai asas keterangan yang mencukupi dan boleh dipertahankan di mahkamah sahaja diteruskan,” kata kenyataan itu.
AGC menjelaskan, keputusan tersebut juga tidak bermaksud pertuduhan berkenaan telah dibuat tanpa asas dan tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu dapatan bahawa transaksi-transaksi yang menjadi subjek siasatan tidak berlaku.
Tambahnya, keputusan pendakwaan boleh dan perlu dinilai semula apabila keseluruhan keterangan, kebolehterimaan keterangan, kredibiliti saksi dan implikasi terhadap prosiding lain dinilai secara menyeluruh.
Katanya, ia mesti dibuat berdasarkan undang2 keterangan dan kepentingan pentadbiran keadilan.
“Setelah mengambil kira keseluruhan faktor tersebut, Jabatan ini berpendirian bahawa meneruskan pertuduhan-pertuduhan tersebut bukan lagi suatu langkah pendakwaan yang wajar dan berhemat,” katanya lagi.
Bagaimanapun AGC menegaskan, pendakwaan melibatkan tiga lagi pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) ke atas Muhyiddin adalah diteruskan. -MalaysiaGazette
















