GEORGE TOWN – Sajian makanan yang tular membabitkan pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan (on-call) di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dekat sini, adalah menu minum petang, bukan hidangan utama.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Abdullah berkata, sajian berkenaan adalah sebahagian daripada empat hidangan yang disediakan sepanjang hari.
“Empat hidangan yang disediakan sepanjang hari ialah sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam berdasarkan perancangan menu oleh Jabatan Dietetik dan Sajian HBM.
“Penyediaan menu dikendalikan oleh Pegawai Dietetik dan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan berpandukan Manual Diet Hospital, Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Kementerian Kesihatan (KKM).
“Empat hidangan sehari itu mempunyai jumlah nilai tenaga harian dianggarkan antara 1,500 hingga 1,800 kilokalori (kcal) sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zulhizzam, pihaknya memahami gambar berkenaan mungkin menimbulkan persepsi berbeza apabila dilihat tanpa konteks keseluruhan penyediaan makanan.
“Sehubungan itu, JKN Pulau Pinang dan HBM menghargai setiap pandangan yang diberikan dan akan terus meneliti ruang penambahbaikan bagi memastikan penyediaan makanan dilaksanakan dengan baik serta kebajikan pegawai yang bertugas sentiasa diberi perhatian selaras pekeliling yang berkuat kuasa semasa,” katanya.
Semalam tular satu hantaran bersertakan gambar memaparkan dulang makanan yang dilabelkan untuk Pegawai Perubatan bertugas atas panggilan (on-call) di Wad 5, Hospital Bukit Mertajam.
Bagaimanapun, penulis mengakui tidak dapat menentukan berdasarkan satu gambar sama ada ia makanan penuh doktor, hidangan lewat malam, snek atau hanya sebahagian daripada makanan yang disediakan.
Selain itu, penulis hantaran turut mempersoalkan sajian yang dilihat mengandungi beberapa keping biskut, selain membangkitkan isu kebajikan, rehat dan bayaran bagi pegawai perubatan yang menjalani tugas on-call.
Penulis mendakwa, pegawai perubatan yang menjalani tugas on-call pada hujung minggu atau cuti umum menerima bayaran RM300 bagi tempoh tugas 24 jam, yang dikira bersamaan kira-kira RM12.50 sejam.
Hantaran itu turut menyindir status HBM sebagai hospital yang dikaitkan dengan kelestarian sebelum diakhiri dengan persoalan mengenai maksud sebenar “hijau” dalam konteks berkenaan. – MalaysiaGazette
















