Tenaga Nasional Berhad

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menjadi sumber keuntungan kepada syarikat itu.

AFA juga bukan punca peningkatan mendadak bil elektrik pengguna.

Sebaliknya, peningkatan bil elektrik disebabkan faktor-faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah, bekerja dari rumah yang mempengaruhi pola penggunaan peralatan elektrik di rumah dan memberikan kesan rantaian kepada bil bulanan.

TNB berkata, AFA diperkenalkan bermula 1 Julai 2025 berikutan penstrukturan tarif elektrik sebagai ganti kepada mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

“AFA bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menyalurkan keuntungan terhadap TNB. AFA berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pengguna domestik dengan penggunaan 600kWj ke bawah sebulan adalah dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA, sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj.

Tambahan lagi, pengguna di dalam julat ini turut dikecualikan daripada dikenakan cukai perkhidmatan 8% dan caj peruncitan.

Malah, di bawah tarif baharu ini, kumpulan ini membayar kira-kira 2% hingga 14% lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.

“Apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati kadar rebat, dan jumlah penjimatan dipulangkan terus ke dalam bil elektrik. Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026.

“Apabila kos bahan api global lebih tinggi, perbezaan kos diselaraskan melalui kadar surcaj. Surcaj hanya mula dikenakan pada Mei 2026 apabila kos penjanaan meningkat berikutan krisis di Asia Barat,” kata TNB lagi.

TNB menambah, sejak AFA diperkenalkan, secara keseluruhan pengguna telah menerima manfaat yang lebih besar, dengan sejumlah RM3.1 bilion rebat AFA telah diterima berbanding nilai surcaj AFA sebanyak RM0.8 bilion.

Kerajaan pula telah menyalurkan tambahan RM435 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.

Jelasnya, kadar AFA bagi September 2026 ialah +3.67 sen/kWj dan maklumat ini dikemaskini dan dikongsikan setiap bulan di portal www.mytnb.com.my/tariff selepas pengesahan dari Suruhanjaya Tenaga.

Menurut TNB, syarikat itu kekal komited dalam memastikan setiap bil elektrik yang dibayar pengguna mencerminkan kos sebenar dan menekankan AFA bukan mekanisme sehala.

Jelasnya, apabila kos menurun, pengguna menikmati rebat, dan apabila kos meningkat, perbezaan kos dikongsi bersama.

Pada masa yang sama, pengguna domestik kekal dilindungi melalui ambang 600kWj ke bawah sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here