MELAKA – Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan tular bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menandatangani dokumen pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.
Ketua Komunikasi Media Ketua Menteri Melaka, NorHafizah Mohd Sati berkata, pihaknya setakat ini tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan seperti yang didakwa dalam maklumat yang tersebar di aplikasi WhatsApp.
“Setakat hari ini tidak dimaklumkan sebarang perjumpaan. Apa-apa kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri akan dimaklumkan segera.
“Segala yang tular tidak sahih sama sekali. Mohon sahabat-sahabat media tidak mempercayai sebarang info yang tular tanpa pengesahan Pejabat Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan bahawa Mohd Ali dan Ab Rauf menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka, hari ini.
Maklumat yang tersebar itu mendakwa dokumen berkenaan ditandatangani kira-kira jam 10.30 pagi di Bilik Tamu, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan penggal semasa bermula selepas PRN Melaka pada November 2021.
Mengikut peruntukan undang-undang, DUN boleh dibubarkan lebih awal atas perkenan Yang Dipertua Negeri, manakala jika tidak dibubarkan lebih awal, tempoh maksimum lima tahun akan berakhir pada Disember 2026.
Selepas DUN dibubarkan, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi memilih wakil rakyat bagi semua 28 kerusi DUN.
Perkembangan mengenai tarikh pembubaran DUN dan PRN Melaka kini menjadi tumpuan susulan tempoh penggal semasa yang semakin hampir berakhir. – MalaysiaGazette
















