Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepaskan dan dibebaskan dari Mahkamah Tinggi daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Tindakan menghina mahkamah tidak dikenakan terhadap pegawai penyiasat kes Jana Wibawa selepas Mahkamah Tinggi hari ini menerima penjelasan beliau berhubung laporan polis dibuat seorang pegawainya.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin berpuas hati dengan penjelasan Ketua Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd. Zaini bahawa laporan polis yang dibuat selepas perbicaraan semalam, telah ditarik balik pada pukul 12.45 tengah hari.

“Saya menerima penjelasan saksi berkenaan. Terpulang kepada peguam jika mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Saya tidak mahu komen tentang itu,” kata hakim tersebut.

Hakim Noor Ruwena berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan.

Terdahulu, Mazery memberitahu mahkamah bahawa hasil semakan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada sebarang kebocoran maklumat dilakukan oleh pegawai agensi itu.

“Saya berpuas hati bahawa tiada sebarang keterangan atau apa-apa dokumen yang keluar daripada pegawai SPRM sendiri. Saya meminta pembantu saya untuk menarik balik laporan yang dibuat,” kata saksi itu.

Mazery yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan SPRM berkata, beliau turut meminta supaya polis merakam keterangan pembantunya bagi membolehkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dikeluarkan terhadap laporan berkenaan.

“Saya berharap peguam Datuk Amer (Amer Hamzah Arshad)  menerima permohonan maaf dan keputusan pantas yang saya buat demi menjaga kemaslahatan dan keharmonian perbicaraan ini,” katanya.

Terdahulu, pembelaan memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap Mazery ekoran laporan polis yang dibuat oleh SPRM berhubung isu kebocoran dokumen sulit.

Laporan polis itu dibuat agar polis menyiasat bagaimana rakaman percakapan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad dalam kes berlainan, berada dalam milikan pasukan pembelaan walhal dokumen itu didakwa tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dihadapi Muhyiddin.

Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad bercakap kepada media di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2026.

Amer Hamzah memberitahu, laporan tersebut yang kemudiannya disiarkan oleh pihak media merujuk kepada beliau, dilihat sebagai satu percubaan untuk mencemar imejnya selaku salah seorang peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri.

Beliau memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan kerana didakwa telah melanggar arahan mahkamah agar tidak membincangkan butiran perbicaraan di luar prosiding.

Muhyiddin, 79, didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here