Pelaksanaan hukuman PKM Siri Ke-50 yang turut melibatkan warga asing dilakukan di De Stulang, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedang melengkapkan empat kertas siasatan kes pembuangan dan lambakan sisa binaan dari Singapura di Pontian.

Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, kertas siasatan akan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan yang dijalankan membabitkan empat pemilik tanah di kawasan terlibat. Setakat ini keterangan dua pemilik tanah telah diambil, kita akan dapatkan keterangan dua lagi pemilik tanah untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya mengulas perkembangan siasatan kes itu.

Beliau berkata demikan kepada pemberita ketika meninjau pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-50 yang melibatkan 26 pesalah di De Stulang di sini hari ini.

Pegawai Daerah Pontian Mohd Farid Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, antara lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat pembuangan sisa binaan itu ialah Kampung Sungai Karang, Kampung Sungai Senai dan Kampung Simpang Kiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilapor berkata, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu itu yang antaranya melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, Pejabat Daerah serta SWCorp.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan pihaknya turut mendapati tiada kes baharu melibatkan kemasukan sisa binaan dari luar negara yang dikesan di kawasan lain.

Zainal Fitri

“Setakat ini tidak ada kes baharu, siasatan diteruskan untuk pendakwaan (kes sedia ada),” katanya.

Mengenai PKM tersebut, beliau berkata, melibatkan 12 warga tempatan manakala 14 lagi bukan warganegara terdiri daripada tujuh warga Bangladesh, tiga Nepal, tiga Indonesia dan seorang Pakistan.

“Kesemua kes melibatkan kesalahan pembuangan sisa kecil di tempat awam, terdiri daripada 25 kes membuang puntung rokok dan satu kes membuang tin minuman,” katanya.

Pelaksanaan melibatkan lima lokasi iaitu De Stulang, Johor Bahru; Taman Sri Saujana, Kota Tinggi; Taman Teknologi Johor; Taman Selasih, Senai dan Taman Rekreasi Sungai Kapeh, Segamat.

“PKM ini merupakan sebahagian pendekatan penguatkuasaan melalui saluran perundangan yang bukan sahaja memberi kesan pemulihan kepada pesalah, malah bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan awam.

“Pelaksanaan PKM bukan sekadar hukuman, tetapi satu pendekatan pendidikan sivik secara langsung kepada pesalah supaya memahami kesan membuang sisa kecil secara tidak bertanggungjawab serta membina kesedaran untuk menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here