Harris Idaham Rashid

KUALA LUMPUR –  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Malaysia menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa sebagai kemenangan kepada prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, keputusan itu membuktikan tuduhan terhadap Muhyiddin tidak mempunyai asas yang kukuh untuk membawa kepada sabitan.

“Bagi Armada, keputusan ini memperlihatkan pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, termasuk persoalan sama ada proses tersebut telah digunakan sebagai tekanan politik terhadap kepimpinan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris berkata, pihaknya kini mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan susulan berhubung sekatan terhadap akaun bank rasmi Bersatu.

“Kami menuntut supaya sekatan terhadap akaun rasmi Bersatu ditamatkan sekiranya tiada lagi asas perundangan untuk meneruskannya.

“Parti juga perlu diberikan ruang untuk menguruskan urusan kewangan dan pentadbiran seperti biasa,” tegasnya.

Menurut beliau, keputusan mahkamah berkenaan tidak akan melemahkan Armada, sebaliknya menguatkan tekad mereka untuk terus mempertahankan Muhyiddin serta kepimpinan Bersatu.

Katanya, Armada akan terus membawa isu yang menyentuh keadilan, integriti proses undang-undang dan hak parti melalui saluran yang sah.

“Armada akan terus berdiri bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan memastikan perjuangan ini diteruskan berdasarkan undang-undang serta mandat rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

KEMAS KINI: Muhyiddin bebas satu tuduhan guna kedudukan dan tiga tuduhan AMLA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here