KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menilai semula mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) bagi pengguna domestik susulan peningkatan kadar yang disifatkan semakin memberi tekanan kepada isi rumah.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, kenaikan bil sebanyak RM30, RM50 atau RM100 mungkin kelihatan kecil, namun jumlah itu memberi kesan kepada keluarga yang perlu mengutamakan perbelanjaan harian.
Menurut beliau, pengguna domestik yang menggunakan lebih 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan kini terdedah kepada AFA, dengan kadar meningkat daripada 2.59 sen/kWh pada Jun kepada 3.59 sen pada Julai, 3.80 sen pada Ogos dan 3.67 sen/kWh pada September.
“Kerajaan mungkin tidak mampu mengawal harga tenaga dunia, tetapi kita boleh menentukan berapa banyak tekanan itu patut dipindahkan kepada rakyat.
“Sebab itu saya menggesa PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air) dan Suruhanjaya Tenaga menilai semula tahap perlindungan AFA kepada pengguna domestik,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, had penggunaan 600 kWh semata-mata tidak semestinya menggambarkan kemampuan sesebuah isi rumah kerana keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dengan ramai tanggungan, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan peralatan perubatan di rumah mungkin menggunakan elektrik lebih tinggi atas faktor keperluan.
Katanya, kerajaan tidak perlu kembali kepada subsidi pukal, sebaliknya mempertimbangkan perlindungan AFA secara bersasar dan berperingkat dengan mengambil kira pendapatan, bilangan tanggungan serta keperluan sebenar isi rumah.
Dalam masa sama, beliau memohon Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkemaskan skim Time-of-Use (TOU) supaya lebih mudah difahami dan benar-benar membantu pengguna mengurangkan bil elektrik.
“Jangan sekadar suruh rakyat berjimat. Tunjukkan kepada rakyat bagaimana mereka boleh berjimat,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan elektrik pada waktu luar puncak seperti selepas 10 malam, sebelum 2 petang pada hari bekerja serta sepanjang hujung minggu boleh memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar lebih rendah menerusi TOU.
Danish turut mencadangkan TNB menggunakan data daripada meter pintar untuk membantu pengguna mengenal pasti sama ada TOU sesuai dengan corak penggunaan masing-masing serta menganggarkan jumlah penjimatan yang boleh diperoleh.
Bagaimanapun, katanya, TOU bukan penyelesaian kepada semua masalah kerana tidak semua keluarga mempunyai kebebasan untuk mengubah waktu penggunaan elektrik, khususnya isi rumah yang mempunyai anak kecil, warga emas atau ramai penghuni.
“Penyelesaian kepada tekanan bil mesti merangkumi TOU, perlindungan AFA yang lebih bersasar dan intervensi kerajaan apabila berlaku kejutan luar biasa harga tenaga dunia.
“Apabila keadaan berubah dan rakyat mula terhimpit, kerajaan mesti mendengar dan bertindak. Rakyat cuma tidak mahu kejutan harga tenaga dunia ditanggung sendirian,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















