KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di negeri itu untuk melaksanakan solat hajat dan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan dan dipulihkan daripada jerebu.
Menurut Facebook Kesultanan Pahang, titah tersebut adalah susulan keadaan jerebu yang semakin teruk dan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Pahang.
“Paduka Baginda bertitah, usaha berkenaan merupakan ikhtiar umat Islam untuk memohon pertolongan dan rahmat Allah SWT agar diturunkan hujan yang dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu serta memperbaiki kualiti udara,” kata hantaran tersebut.
Dalam pada itu, menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, solat hajat tersebut akan dilaksanakan selepas solat Maghrib atau Isyak pada setiap hari selama seminggu dari tarikh surat tersebut dikeluarkan.
















