Mohd Zaidi menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin yang berkuat kuasa Isnin lalu.

GEORGR TOWN – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuat kuasa 14 September lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dua hari selepas ucapannya berkaitan ideologi DAP pada Perhimpunan Agung UMNO yang mencetuskan perhatian di media sosial terutama dalam kalangan Pakatan Harapan (PH).

Mohd Zaidi berkata, sebagai Ahli Majlis MBSP dalam sebuah negeri yang diterajui DAP, beliau menyedari tidak sepatutnya melanggar garis merah dalam tatakelola, adab dan prinsip pentadbiran kerana beliau adalah sebahagian daripada anggota yang dilantik oleh pentadbiran negeri.

“Keputusan ini saya ambil demi ‘melepaskan kaki dan tangan’ untuk saya terus berjuang, berpegang teguh pada prinsip dan idealisme yang dipertahankan parti UMNO/BN selama ini.

“Saya tegaskan dalam surat saya bahawa UMNO dan DAP adalah dua parti yang telah sekian lama berbeza prinsip perjuangan dan tidak mungkin dalam masa sesingkat ini kita mampu melangkah seiringan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, tidak boleh terus berpura-pura untuk ‘menjadi tunggul’ walaupun menghormati kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di peringkat negeri.

Mohd Zaidi turut berkata, perbezaan ideologi dan pandangan tidak semestinya meletakkan seseorang dalam perseteruan dan permusuhan sepanjang masa.

“Saya memohon maaf atas kapasiti sebagai ahli majlis yang tidak sepatutnya bercakap sedemikian, ia bukan bermaksud saya menarik balik segala kata-kata yang saya ucapkan kerana saya yakin dan jelas bahawa ucapan saya adalah benar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye, mengucapkan terima kasih kepada Mohd Zaidi kerana memohon maaf dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis MBSP sebagai mengambil tanggungjawab atas kekhilafan dalam ucapannya.

Jason berkata, dalam surat berkenaan, Mohd Zaidi turut mengakui Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Chow Kon Yeow tekad mengutamakan kebajikan rakyat dengan sikap toleransi dan amanah terhadap pentadbiran kerajaan.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP sejak tahun 2008 adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan senantiasa cakna kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya dalam hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here