Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR –  Tiada sebarang mesyuarat atau keputusan baharu berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak termasuk isu tahanan rumah dijadualkan pada minggu ini, kata seorang sumber tertinggi.

Sumber itu berkata, khabar angin yang kembali bertiup kencang sejak dua tiga hari lalu mengenai kemungkinan bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan atau dibenarkan menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah dalam masa terdekat  tidak benar.

“Tidak mungkin. Setakat ini tidak ada sebarang pengampunan yang dijadualkan minggu ini.

“Mungkin ada pihak berkepentingan cuba menyebarkan maklumat tidak benar, tetapi setakat ini memang tidak akan ada,” dakwanya.

Menurut sumber berkenaan, sekiranya permohonan Najib hendak dipertimbangkan semula, proses berkenaan bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam tempoh singkat dan perlu melalui proses serta pertimbangan sewajarnya.

“Kalau ada sekali pun, mungkin mengambil masa lebih enam bulan, tidak mungkin Agong bersidang minggu ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang pada 11 September lalu namun enggan mengulas sama ada permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah akan dibincangkan, sambil meminta media menunggu kenyataan rasmi.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu kemudian memutuskan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.

Keputusan itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri selepas mesyuarat berkenaan berlangsung di Istana Negara pada 11 September lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada tarikh baharu bagi mesyuarat berkenaan diumumkan.

Dalam perkembangan berkaitan, isu pengampunan Najib turut menjadi perhatian utama pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, dengan pimpinan parti itu menyuarakan harapan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan diberikan ihsan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan PAU 2026 memohon supaya permohonan Najib dipertimbangkan sebaik-baiknya pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang, termasuk rayuan agar beliau diberikan pengampunan penuh.

Sebelum itu, Ahmad Zahid turut menyatakan UMNO bersedih dengan keputusan menangguhkan permohonan berkenaan, namun menegaskan parti itu tetap menjunjung kasih dan menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, pendirian dalam Pakatan Harapan pula lebih berhati-hati dalam isu berkenaan dengan gabungan itu menegaskan bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman yang ditetapkan mahkamah.

Pendirian berkenaan turut mendapat perhatian kerana DAP sebelum ini secara terbuka menyuarakan bantahan terhadap sebarang layanan yang dilihat memberikan keistimewaan kepada Najib, termasuk cadangan supaya beliau menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.

Perbezaan pendirian itu menjadi lebih ketara selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan, ketika UMNO terus merayu supaya perkara berkenaan diberikan pertimbangan, manakala PH menekankan prinsip kedaulatan undang-undang dan proses kehakiman.

Bagaimanapun, sumber tertinggi itu menegaskan, dakwaan bahawa keputusan baharu akan dibuat terhadap permohonan Najib pada minggu ini tidak mempunyai asas.

Sumber itu turut mengingatkan sebarang keputusan berkaitan pengampunan perlu melalui proses yang ditetapkan dan tidak seharusnya disamakan dengan khabar angin atau maklumat yang tersebar di luar saluran rasmi.

Isu tahanan rumah Najib sebelum ini menjadi perhatian susulan kewujudan Titah Adendum yang menjadi antara perkara utama dalam prosiding mahkamah.

Najib sedang menjalani hukuman penjara dalam kes SRC International manakala permohonan untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah menjadi perkara yang berlarutan dalam proses perundangan.

Buat masa ini, perkembangan rasmi terakhir ialah permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.

Sebarang keputusan baharu hanya akan diketahui selepas permohonan itu dibawa semula untuk pertimbangan melalui proses yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here