Mohd Noor Helmy (kanan) menyahut hasrat menentang habis-habisan hasrat Poay Tiong untuk merampas semula kerusi DUN Duyong pada PRN Melaka akan datang.

MELAKA – “Tak ada masalah siapa pun nama jadi calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong ini, kita lawan habis-habisan.”

Itu ketegasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem ketika mengulas hasrat DAP untuk merampas semula kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Mohd Noor Helmy turut menyindir apa yang disifatkannya sebagai perubahan nada DAP selepas beliau bertemu Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pada pagi sebelumnya.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan kepimpinan kerajaan negeri.

“Tadi MalaysiaGazette dah keluarkan berita DAP akan bertanding di DUN Duyong… tapi apa saya boleh katakan, baru semalam pagi saya makan bersama YB Nga Kor Ming, Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Beliau menzahirkan ingin berbincang dengan kepimpinan kerajaan negeri. Saya kata tak apalah, bincanglah. Selagi boleh bincang, tak apa.

“Tiba-tiba malam kau (DAP) kata nak lawan. Eh, tak apalah, kita lawan ajelah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyampaian Hadiah Program KRT Taman Seri Duyong 2, di sini hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menyasarkan untuk merampas semula DUN Duyong daripada Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka akan datang.

Artikel berkaitan:

Poay Tiong memaklumkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena ulang tahun DAP ke-60 di Cheng, malam tadi.

Menurut Poay Tiong, DAP telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk bertanding di Duyong.

Antara faktor yang menurutnya memberi keyakinan kepada DAP ialah keputusan PRN Melaka 2021 apabila parti itu tewas kepada BN dengan majoriti tipis 200 undi.

Pada PRN berkenaan, Mohd Noor Helmy memperoleh 4,684 undi manakala calon DAP, Damian Yeo Shen Li mendapat 4,484 undi.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, hubungan DAP dan BN sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan perlu dilihat dalam konteks kepentingan rakyat.

Namun, katanya, persaingan politik tetap akan berlaku apabila tiba pilihan raya.

“Ketika kita berkawan, kita berkawan demi kepentingan rakyat, tetapi bila sampai masa berlawan, kita lawan habis-habisan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here