Had kelayakan asas bulanan di bawah Budi MADANI RON 95 telah meningkat daripada 200 kepada 300 liter berkuat kuasa 1 September tahun ini. (Gambar hiasan).

WALAUPUN ada yang sinikal namun keputusan kerajaan mengembalikan kuota penggunaan petrol BUDI95RON95 bersubsidi menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) memperlihatkan kesediaan kerajaan mendengar keluhan rakyat.

Lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup yang tinggi masih membebani rakyat.

Langkah itu penting walaupun rasional penyasaran subsidi adalah untuk memastikan wang negara dimanfaatkan secara lebih adil dan pelaksanaannya juga perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat yang berdepan peningkatan kos barangan, perkhidmatan dan keperluan harian.

Pengumuman kerajaan mengembalikan kuota tersebut bukan bermakna matlamat asal BUDI95 diketepikan.

Sebaliknya, ia menggambarkan usaha mencari keseimbangan antara melindungi kepentingan rakyat dengan memastikan kedudukan kewangan kerajaan kekal mampan.

Sejak 2022, kerajaan komited untuk memastikan pemberian subsidi dilaksanakan secara lebih bersasar.

Prinsip asasnya mudah, bantuan kerajaan perlu sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan manakala ketirisan perlu dibendung.

Dalam konteks subsidi petrol, perkara itu menjadi lebih penting kerana subsidi boleh menyebabkan sebahagian manfaatnya turut dinikmati pihak yang tidak sepatutnya termasuk warga asing serta golongan berpendapatan tinggi.

BUDI95 diperkenalkan dengan matlamat untuk memastikan rakyat Malaysia terus menikmati petrol RON95 pada harga subsidi disamping mengurangkan ruang penyalahgunaan subsidioleh pihak yang tidak layak.

Ketika ini, kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 pada RM1.99 seliter – satu kadar yang masih memberikan perlindungan kepada rakyat daripada kesan turun naik harga minyak dunia.

Data Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan sehingga 31 Julai 2026, lebih 14.2 juta rakyat daripada lebih 16.7 juta individu yang layak telah menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.

Jumlah penggunaan pula melebihi 13.4 bilion liter menunjukkan besarnya nilai bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat melalui subsidi bahan api itu.

Namun, angka itu juga memberi gambaran mengapa mekanisme penyasaran perlu dilaksanakan dengan teliti.

Berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 dari Oktober 2025 hingga Jun 2026, kurang satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten setiap bulan manakala purata penggunaan sekitar 100 liter sebulan.

Data secara tidak langsung menunjukkan majoriti rakyat menggunakan petrol pada kadar yang jauh lebih rendah daripada had penggunaan tinggi.

Justeru, mekanisme kuota munasabah boleh menjadi instrumen untuk memastikan perlindungan subsidi kekal diberikan kepada majoriti pengguna tanpa membuka ruang kepada pembaziran atau ketirisan.

Dalam masa sama, keputusan mengembalikan kuota perlu dilihat dalam konteks kemampuan kewangan kerajaan ketika ini.

Subsidi bukan wang yang muncul tanpa kos sebaliknya setiap liter petrol yang dijual pada harga bersubsidi membawa implikasi kepada kewangan negara.

Lebih banyak penggunaan dan lebih besar perbezaan antara harga pasaran dengan harga subsidi, lebih tinggi jumlah perlu ditanggung kerajaan.

BUDI95 dianggarkan mampu menjimatkan perbelanjaan fiskal kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun bergantung kepada harga minyak dunia.

Penjimatan itu penting kerana kerajaan perlu mempunyai ruang fiskal untuk membiayai pelbagai keperluan rakyat lain termasuk pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, bantuan sosial serta program peningkatan pendapatan.

Dalam keadaan ini, penyasaran subsidi bukan semata-mata soal mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Ia juga soal memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan manfaat paling besar kepada rakyat.

Namun kerajaan juga perlu mengakui dasar yang baik daripada sudut fiskal belum tentu dirasai dengan cara yang sama oleh semua lapisan masyarakat.

Bagi mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja, bekerja mengikut syif, menggunakan kenderaan untuk mencari rezeki atau tinggal di kawasan yang mempunyai keterbatasan pengangkutan awam, penggunaan petrol mungkin lebih tinggi daripada purata.

Sebab itu, suara rakyat mengenai kuota perlu didengar dan diteliti secara berterusan.

Keputusan mengembalikan kuota menunjukkan kerajaan tidak melihat dasar penyasaran subsidi sebagai sesuatu yang kaku.

Sebaliknya pelaksanaannya boleh disesuaikan berdasarkan data penggunaan sebenar, keadaan ekonomi dan kemampuan kewangan negara.

Paling wahid, prinsip asal BUDI95 tidak berubah, subsidi perlu diagihkan dengan lebih adil.

Rakyat yang benar-benar bergantung kepada RON95 untuk menjalani kehidupan seharian wajar terus dilindungi.

Pada masa sama, kerajaan tidak boleh membiarkan manfaat subsidi negara terus dinikmati oleh pihak yang tidak layak termasuk warga asing, atau golongan berkemampuan tinggi yang sebenarnya mempunyai keupayaan untuk membayar harga pasaran.

Begitu juga isu ketirisan melibatkan kenderaan tertentu perlu diberikan perhatian kerana setiap liter petrol bersubsidi yang disalahgunakan akhirnya membawa kos kepada ‘kantung’ negara.

Dalam erti kata lain, BUDI95 bukan sekadar cerita mengenai harga petrol atau jumlah kuota.

Ia sebahagian daripada usaha lebih besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan menyusun semula sistem subsidi supaya bantuan negara benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

Bagaimanapun kerajaan berdepan tugas yang tidak mudah mengekalkan perlindungan kepada rakyat ketika kos sara hidup meningkat.

Pada masa sama perlu memastikan perbelanjaan subsidi tidak membebankan kewangan negara untuk jangka panjang.

Justeru, keputusan mendengar keluhan rakyat dan mengembalikan kuota perlu dilihat sebagai langkah pragmatik bukan pengunduran daripada agenda reformasi subsidi.

Cabaran sebenar selepas ini ialah memastikan pelaksanaan BUDI95 terus dipantau dan ditambah baik berdasarkan data, bukan persepsi semata-mata.

Jika mekanisme itu berjaya memastikan majoriti rakyat mendapat petrol bersubsidi pada kadar yang munasabah sambil menutup ruang ketirisan dan mengurangkan beban fiskal kerajaan maka matlamat penyasaran subsidi dapat dicapai tanpa ‘mengorbankan’ kepentingan rakyat.

Akhirnya, ukuran kejayaan BUDI95 bukan sekadar berapa bilion ringgit dapat dijimatkan kerajaan.

Ukuran paling penting sejauh mana penjimatan dan subsidi yang disediakan dapat diterjemahkan kepada perlindungan sebenar untuk rakyat yang paling memerlukan.

Kerajaan perlu terus mendengar, menilai dan menyesuaikan dasar mengikut keadaan semasa dan rakyat pula berhak mendapat sistem subsidi yang adil, telus dan mampan.

Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi keluhan masyarakat, BUDI95 seharusnya menjadi titik keseimbangan antara melindungi rakyat dan memastikan kewangan negara terus kukuh untuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here