MELAKA – Festival Seni Selat & Sungai Melaka 2026 (FSSSM) bakal mengangkat kepelbagaian seni, budaya dan warisan rantau Selat Melaka menerusi pelbagai pengisian menarik di Dataran Pantai Tanjung Bidara, di sini, dari 18 hingga 20 September ini.
Berlangsung selama tiga hari sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, festival bertemakan “Mulanya Di Sini! Pusat Pertemuan Budaya” ini merupakan Program Khas di bawah Pelancongan Budaya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Melaka menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

FSSSM 2026 mengangkat Selat Melaka dan Sungai Melaka sebagai ruang pertemuan pelbagai komuniti perdagangan dari timur dan barat yang membentuk kepelbagaian warisan seni, adat dan budaya masyarakat tempatan.
Tema berkenaan turut menggambarkan keunikan seni budaya yang lahir daripada pertembungan pelbagai bangsa di sepanjang perairan Selat Melaka, selain menekankan kepentingan memelihara warisan sebagai jambatan hubungan antara kaum.
Festival itu turut mengetengahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca serta peranan Selat Melaka sebagai pusat pertemuan budaya dunia sejak lebih 500 tahun lalu.
Tanjung Bidara pula dipilih sebagai lokasi festival, sebuah kawasan pesisir yang mempunyai kaitan dengan sejarah maritim Kesultanan Melayu Melaka dan sering dikaitkan dengan persinggahan tokoh legenda Hang Tuah.

Antara pengisian yang disediakan ialah Pertandingan Pencungkilan Bakat, Karnival Sukan Rakyat, aktiviti riadah dan pelancongan, Malam Budaya Tanjung Bidara serta program keilmuan menerusi audio siar atau podcast.
Festival itu juga menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan air seperti jetski funride, banana boat, pertunjukan flyboard, towable boat, pertunjukan perahu layar dan perkhidmatan bot percuma.
Bagi pencungkilan bakat, pengunjung boleh menyaksikan Pertandingan Tempur Cabaran Joget X Zapin, Ratu Kebaya Selat Melaka, Pencarian Suara Datuk Jamal Abdillah serta Pertandingan Bintang Irama Selat Melaka.
Program keilmuan pula menampilkan Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Salleh, penulis buku Kepulauan Melayu, Ninot Aziz, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr. Shafa’atussara Silahuddin serta Prof. Dr. Mohd Anis Md. Noor, Pengarah Urusan Nusantara Research Center.
Turut diadakan demonstrasi dan pemberian Nasi Lemak Kukus Melaka pada 18 dan 19 September sebagai usaha mempromosikan budaya sarapan Malaysia.
Malam Budaya Tanjung Bidara jadi kemuncak
Antara acara yang paling dinanti ialah Malam Budaya Tanjung Bidara (MBTB) pada 19 September yang menjadi acara perasmian FSSSM 2026 bermula 8 malam di Pentas Utama, Lapangan Tanjung Bidara Airstrip, Kem Terendak, Melaka.
Malam berkenaan menggabungkan elemen sejarah, kearifan tempatan dan hiburan menerusi lima segmen muzikal iaitu Pelayaran Munsyi Abdullah, Gemala Selat Melaka, Bahasa Melayu – Lingua Franca Selat Melaka, Irama Selat Melaka dan Penutup Perdana Selat Melaka: Mulanya Di Sini, Pusat Pertemuan Budaya.
Majlis itu turut meraikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz menerusi konsep persembahan ala teater bangsawan.
Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah penyanyi dari Indonesia, Bunga Sirait, yang terkenal dengan irama Melayu Delinya, selain Raja Pop Melayu, Datuk Jamal Abdillah, Haziq Rosebi, Dr. Shafa’atussara Silahuddin, Dr. Nor Azura Abu Bakar dan artis-artis tempatan Melaka.

Persembahan turut menampilkan Persatuan Peranakan Cina Melaka, Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Troupe De Do Marina dari Kampung Portugis, Ujong Pasir, Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Badan Warisan Seni Melaka, Kumpulan Satelit JKKN Melaka serta Program Bimbingan Hujung Minggu JKKN Melaka.
Lebih 1,000 anggota NGO kebudayaan dan sukarelawan tari dijangka memeriahkan MBTB menerusi persembahan Zapin, Joget Rentak 106 dan Dondang Sayang Mambo.
Secara keseluruhan, hampir 1,500 peserta persembahan terlibat dalam menjayakan MBTB 2026.
Acara berkenaan juga diserikan dengan Penutupan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Konsert Hiburan Rakyat yang menampilkan barisan artis termasuk penampilan khas Dato’ Amy Search, Syafiq Farhain dan Charly Van Houten daripada kumpulan ST12.
Dalam pada itu, pengunjung berpeluang menikmati suasana Pesta Pantai Tanjung Bidara yang dianjurkan MPAG dan JAPERUN Tanjung Bidara, termasuk kehadiran Kereta Lembu Melaka serta pelbagai aktiviti lain.
Orang ramai digalakkan mengenakan pakaian tradisi dan klasik pelbagai kaum sempena Kempen Berpakaian Busana Etnik pada Malam Budaya Tanjung Bidara.

FSSSM 2026 turut meneruskan usaha mempromosikan warisan dan budaya tempatan apabila urus setianya menerusi PPSPM dan JKKN sebelum ini berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) pada 20 Julai lalu menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria di Dataran Pengkalan Rama Pantai, Melaka.

Jumlah itu mengatasi sasaran asal sebanyak 10,000 biji kuih keria yang turut dikongsikan bersama pengunjung.
Program Pelancongan Budaya itu bukan sahaja bertujuan memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara, malah menjadi platform menjana ekonomi menerusi sektor seni, budaya, pelancongan dan gastronomi.
Pada masa sama, penganjuran FSSSM 2026 diharap dapat memupuk semangat kerjasama, meningkatkan toleransi serta mengukuhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat. – MalaysiaGazette
















