KUALA LUMPUR – Kekuatan dan masa depan Malaysia bergantung kepada kesediaan rakyat untuk terus bersatu, saling menghormati serta mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat Malaysia bukan sekadar memiliki satu identiti sebaliknya turut membawa amanah untuk bersama-sama menjaga keamanan dan keharmonian negara.
Menurut beliau, perjalanan 63 tahun Malaysia membuktikan kekuatan negara sentiasa terletak pada rakyatnya yang bersedia berdiri bersama dalam mendepani pelbagai cabaran.
“Hari Malaysia adalah tentang kita. Tentang sebuah negara yang kita sama-sama bina, pertahankan dan terus dimajukan demi masa depan yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 hari ini.
Khaled berkata, kekuatan Malaysia turut bergantung kepada kesediaan rakyat untuk saling menghormati, memelihara keharmonian dan berdiri bersama dalam menghadapi apa jua cabaran.
Katanya, keamanan dan keharmonian yang dinikmati negara tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang terbina dengan sendirinya.
“Menjadi rakyat Malaysia bukan sekadar satu identiti. Ia adalah amanah untuk kita bersama-sama menjaga keamanan, memelihara keharmonian dan mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Malaysia kuat lahir daripada rakyat yang bersatu, saling mempercayai dan teguh berdiri demi kepentingan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Khaled berharap kebersamaan yang dibina rakyat selama ini terus menjadi kekuatan kepada Malaysia dalam melangkah ke hadapan.
“Kerana Malaysia yang kuat tidak terbina dengan sendirinya. Ia lahir daripada rakyat yang bersatu, saling percaya dan teguh berdiri demi negara.
“Semoga kebersamaan yang kita bina terus menjadi kekuatan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















