MELAKA – DAP Melaka mengesahkan mahu bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia termasuk empat kerusi yang kini disandang parti itu iaitu Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh.
Empat lagi kerusi yang mahu ditandingi DAP ialah Duyong, Bemban, Pengkalan Batu dan Gadek.
“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Pakatan Harapan (PH) negeri dan pusat berhubung hasrat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena ulang tahun DAP ke-60 di Cheng, di sini malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching.
Menurut Poay Tiong, DAP Melaka bakal menampilkan gabungan muka baharu dan lama pada PRN kali ini.

“Ada muka baharu dan ada yang akan bertanding semula. Nanti kita akan umumkan,” katanya.
Beliau berkata, senarai calon telah dikemukakan kepada kepimpinan DAP pusat sebelum keputusan mengenai calon akhir dibuat.
Poay Tiong juga tidak menolak kemungkinan DAP meletakkan calon Melayu di salah satu daripada lapan kerusi yang mahu ditandingi.
“Kita semua ada sebab kita satu Malaysia, semua ada lah,” katanya.
Pada masa ini, DAP mempunyai empat wakil rakyat di DUN Melaka iaitu Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir). – MalaysiaGazette
















