Sebuah Honda Civic terbabas dan melanggar tiga kenderaan lain dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur, pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu Honda Civic disyaki memandu secara melulu sebelum terbabas dan melanggar tiga kenderaan lain dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Bandar Dalam di sini semalam.

Lebih mengejutkan, pemandu berkenaan didapati positif empat jenis dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing susulan kemalangan yang berlaku kira-kira 3.50 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, ujian saringan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati lelaki itu positif Benzodiazepine, Metamfetamin, Ketamin dan Amfetamin.

“Bagaimanapun, ujian hembusan nafas yang dijalankan terhadap pemandu Honda Civic berkenaan adalah negatif dengan bacaan 00mg,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan empat kenderaan selepas Honda Civic dipandu lelaki berkenaan gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar tiga kenderaan lain.

Tiga kenderaan terbabit ialah Proton Saga dipandu lelaki warganegara Algeria berusia 46 tahun, Nissan Almera dipandu wanita berbangsa India berusia 46 tahun dan sebuah lagi Honda Civic dipandu wanita berbangsa Melayu berusia 51 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu Honda Civic yang gagal mengawal kenderaan serta disyaki memandu secara melulu sebelum melanggar tiga kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya.

Zamzuri berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berjaya mengesan kesemua kenderaan yang terlibat selepas video kejadian berkenaan tular di laman Threads.

Katanya, semua pemandu terlibat diminta hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian.

“Pemandu Honda Civic berkenaan hadir ke balai polis dan membuat laporan polis pada hari yang sama pukul 10.39 malam,” katanya.

Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here