Anthony Loke Siew Fook bersama pemimpin DAP pusat dan Melaka serta ahli parti meraikan sambutan ulangtahun DAP ke 60 di Cheng, Melaka malam tadi.

MELAKA – DAP menyasarkan untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, parti itu telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk bertanding di kerusi berkenaan yang kini disandang Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem daripada BN.

Menurut beliau, antara faktor yang memberi keyakinan kepada DAP ialah keputusan PRN Melaka 2021 apabila parti itu tewas tipis kepada BN dengan majoriti hanya 200 undi.

“Kita akan cuba yang terbaik dan kita berusaha untuk merampas semula kerusi DUN Duyong yang kita kecundang dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena ulang tahun DAP ke-60 di Cheng, di sini malam tadi.

Artikel berkaitan: PRN Melaka: DAP sah bakal bertanding lapan kerusi DUN

Hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching.

Menurut Poay Tiong, DAP Melaka turut menyasarkan untuk memenangi lebih daripada empat kerusi DUN pada PRN kali ini.

Ketika ini, DAP menyandang empat kerusi iaitu Bandar Hilir, Kota Laksamana, Kesidang dan Ayer Keroh.

Pada PRN Melaka 2021, Mohd Noor Helmy menewaskan calon DAP yang juga penyandang ketika itu, Damian Yeo Shen Li, dengan majoriti 200 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Duyong kembali kepada BN selepas DAP menguasai kerusi berkenaan selama sepenggal dari 2018 hingga 2021.

Pada 25 Ogos lalu, Damian ketika ditemui MalaysiaGazette mengakui DAP memerlukan calon luar biasa sekiranya mahu merampas semula Duyong.

Artikel berkaitan: 

Beliau berkata, pendekatan Mohd Noor Helmy dalam menyantuni pengundi menjadikan usaha DAP untuk mengambil kembali kerusi berkenaan bukan sesuatu yang mudah.

DAP sebelum ini mengesahkan Duyong merupakan antara lapan kerusi yang mahu ditandinginya pada PRN Melaka akan datang.

Selain empat kerusi yang kini disandang parti itu, DAP turut menyasarkan Duyong, Bemban, Pengkalan Batu dan Gadek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here