MELAKA – Tewas dengan hanya 200 undi namun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Duyong, Damian Yeo Shen Li tidak pernah kesal dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 itu.
Malah, beliau berbangga kalah di tangan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mewakili Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti berjaya menunaikan perkhidmatan sebagai wakil rakyat terbaik.
“Saya bangga kalah dengan orang yang terbaik,” luah Damian ketika ditemui wartawan MalaysiaGazette hari ini.
Damian yang menjadi wakil rakyat di antara 2018 hingga 2021 atas tiket Pakatan Harapan (PH) berkata, jika beliau masih menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan ketika ini, tidak mungkin dapat melakukan lebih baik daripada Mohd Noor Helmy.
Justeru, katanya, adalah menjadi tugas yang amat mencabar kepada bakal calon daripada parti bukan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi DUN Duyong pada PRN akan datang.

“(Datuk) Helmy melakukan yang terbaik. Dia seorang yang pantas turun padang hingga ke akar umbi menyelesaikan masalah rakyat. Saya tidak fikir akan ada pemimpin lain yang sebaik Helmy ketika ini.
“Bagi saya semua orang ada peluang untuk menjadi wakil rakyat di DUN Duyong tetapi kena letak calon yang bukan calang-calang untuk bertanding di kawasan tersebut,” katanya dalam pertemuan di Bukit Baru di sini hari ini.
Ketua Biro Ekonomi DAP Melaka itu turut berkongsi beberapa ‘tips’ kepada mana-mana bakal calon yang mahu bertanding di DUN Duyong pada PRN Melaka tidak lama lagi.
Antaranya kata beliau, bakal calon itu perlu pantas menghidu masalah rakyat dalam apa jua keadaan terutama ketika bencana alam.

“Dengan kata lain sebelum netizen memberi komen di media sosial, bakal calon itu telah ada di kawasan bencana,” katanya dengan nada berseloroh.
Bakal calon juga katanya, perlu sentiasa merendah diri mendekati rakyat tanpa mengira peringkat dan masa terutama yang dalam kesusahan.
Tambahnya, semua kerja-kerja kebajikan itu seharusnya telah dilakukan oleh bakal calon sejak lebih setahun dahulu.
“Semua kerja-kerja berkenaan telah dilakukan oleh Helmy sejak hari pertama dia menjadil wakil rakyat.
Beliau menasihati kepada sesiapa yang mahu bertanding sebagai calon payung terjun di DUN Duyong agar melupakan sahaja hasrat itu.
“Jika pencabar tiada ciri-ciri saya harap lupakan sahaja hasrat untuk bertanding,” jelasnya.
Kelmarin Damian dalam hantaran di laman Facebook berkongsi pandangan tentang Noor Helmy selepas beliau bertemu ADUN Duyong itu di sebuah majlis perkahwinan.

“Politik kadangkala memang penuh dengan perkara yang tidak dijangka. Pada Pilihan Raya Umum 2021, saya tewas di Duyong dengan perbezaan hanya kira-kira 200 undi. Namun apabila mengenangnya kembali, saya boleh katakan dengan ikhlas bahawa jika saya memang perlu kalah, saya bersyukur kerana tewas kepada seorang yang baik.
“YB Helmi adalah seseorang yang saya percaya mempunyai potensi untuk memimpin Melaka sebagai Ketua Menteri suatu hari nanti. Beliau disenangi rakyat, mudah didekati dan sentiasa merendah diri, sifat-sifat yang amat penting dalam khidmat kepada masyarakat.
“Malah, jika diketepikan soal politik dan warna parti, dan saya hanyalah seorang pengundi biasa yang menilai calon secara objektif, secara peribadi saya sendiri akan mengundi beliau.
“Pilihan raya akan sentiasa menghasilkan pihak yang menang dan kalah. Namun, khidmat kepada rakyat tidak seharusnya hanya berkisar tentang memenangi pilihan raya. Ia juga mengenai kesediaan kita mengiktiraf individu yang baik apabila kita melihatnya — biarpun mereka berada di pihak yang berbeza.
“Gembira dapat bertemu dan berbual kembali dengan YB. Ketepikan politik, persahabatan dan rasa saling menghormati tetap kekal.”
Pada PRN Melaka 2021, Damian yang menyandang kerusi DUN Duyong ketika itu, tewas kepada Mohd Noor Helmy dengan kekalahan tipis sebanyak 200 undi.
Damian menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan selama sepenggal antara 2018 hingga 2021. – MalaysiaGazette
















