Mario Fernando

ISKANDAR PUTERI – Buriram United gagal membawa pulang kemenangan tetapi satu mata yang diraih di gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT) dianggap cukup bernilai oleh ketua jurulatihnya, Mario Fernando.

Dalam aksi penuh dramatik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi, Buriram United menunjukkan ketahanan mental luar biasa apabila berjaya mengikat JDT 1-1 meskipun beraksi dengan 10 pemain hampir separuh masa terakhir permainan.

Fernando amat berbangga dengan persembahan anak buahnya yang berjaya bertahan dalam tekanan tinggi, terutama ketika berdepan atmosfera panas daripada penyokong tuan rumah.

Menurutnya, cabaran lebih besar apabila beliau baru sahaja mengambil alih pasukan kira-kira seminggu sebelum perlawanan, menyebabkan masa persiapan di padang amat terhad.

Sebaliknya, pasukan lebih banyak melakukan persediaan menerusi analisis video bagi memahami corak permainan JDT.

“Pemain saya sangat luar biasa. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih kerana perlu bermain dan memulihkan keadaan pemain.

“Kami banyak bekerja melalui video, tetapi mereka menunjukkan komitmen dan personaliti yang besar dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Fernando mengakui Buriram United sedikit bernasib baik, namun menegaskan keputusan seri itu bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai, terutama apabila berdepan JDT di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Buriram United seri 1-1 dalam perlawanan dengan JDT pada aksi pembukaan Zon Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, malam tadi.- Foto ihsan Johor Southern Tigers

Katanya, selepas JDT mendahului menerusi jaringan awal, pemain Buriram United tidak mengalah sebaliknya bangkit dengan semangat tinggi untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat.

“Selepas kami ketinggalan 0-1, pasukan memberikan jawapan yang besar. Kami bekerja keras dan berjaya masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri. Itu menunjukkan karakter pemain kami,” katanya.

Bagaimanapun, Fernando berkata, corak permainan berubah selepas Buriram United kehilangan seorang pemain pada minit ke-57, menyaksikan JDT menguasai permainan dan meningkatkan tekanan.

Beliau mengakui berdepan JDT dengan 10 pemain di Stadium Sultan Ibrahim adalah cabaran besar, apatah lagi tuan rumah memiliki barisan pemain berkualiti.

“JDT adalah pasukan besar dengan pemain hebat. Jika bermain 11 lawan 11, mungkin cerita perlawanan akan berbeza.

“Tetapi dalam keadaan ini, pemain saya melakukan sesuatu yang sangat istimewa,” katanya.

Fernando turut memuji JDT yang memberikan tentangan sengit serta mengakui Stadium Sultan Ibrahim mempunyai suasana luar biasa.

Walaupun keputusan seri bukan sasaran utama Buriram United, beliau menyifatkan satu mata di laman JDT sebagai hasil kerja keras yang mampu meningkatkan keyakinan pasukannya dalam saingan ACLE musim ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here