SEBERANG PERAI – Mayat lelaki yang ditemui dalam lubang kumbahan di sebuah rumah teres di Taman Seri Bistari di Nibong Tebal pada 9 September lalu akhirnya dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.
Proses tuntutan mayat berlangsung selama kira-kira sejam bermula 9 pagi sebelum mayat mendiang berusia 52 tahun itu dibawa keluar dari jabatan berkenaan pada jam 10 pagi.
Difahamkan, mendiang akan dibawa ke rumah keluarganya sebelum disempurnakan di pusat di Krematorium Berapit, Bukit Mertajam dekat sini.
Sementara itu, ahli keluarga mendiang enggan ditemu bual dan meminta ruang untuk keluarga melalui keadaan sukar berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Lima suspek direman kes culik lelaki sebelum ditemui mati dalam tangki najis
Mayat dalam tangki najis diklasifikasi sebagai kes bunuh
Mayat ditemukan dalam tangki najis dipercayai pemilik kedai gunting rambut
Mayat lelaki ditemui dalam tangki septik, tangan dan kaki diikat
MalaysiaGazette pada 9 September lalu melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tragis apabila dibunuh dan dihumban dalam lubang kumbahan di sebuah rumah teres di Taman Seri Bistari di sini.
Mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat sebelum dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.
Sebelum itu, polis menerima laporan kehilangan mangsa daripada ahli keluarganya pada 7 September lalu.
Siasatan awal mendapati terdapat transaksi RM30,000 daripada akaun mangsa ke akaun sebuah kedai runcit di Sungai Bakap pada hari sama.
Polis kemudian menahan 10 suspek berusia 25 hingga 35 tahun yang terdiri daripada lima warga tempatan dan lima warga Myanmar di sekitar Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar mengesahkan kes berkenaan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, klasifikasi semula itu dibuat berdasarkan hasil bedah siasat serta perkembangan siasatan.
“Identiti mangsa juga telah disahkan dan kes telah diklasifikasikan semula daripada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















