NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki tempatan ditemui dalam tangki septik di sebuah rumah di Lorong 7, Taman Seri Bistari di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 50-an ditemui dalam keadaan kaki dan tangan diikat ketika dikeluarkan polis dengan bantuan pihak bomba.
Difahamkan, mayat mangsa dipercayai sudah dua hari berada di dalam tangki septik yang terletak di bahagian belakang rumah teres setingkat berkenaan, berhampiran kawasan dapur.
Sebelum ini, polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang memaklumkan kehilangannya.

Susulan itu, satu lagi laporan dibuat selepas anak saudara mangsa mendapati wang berjumlah RM30,000 dipindahkan daripada akaun mangsa ke akaun sebuah kedai runcit di Sungai Bakap, dekat sini, pada 7 September lalu.
Semakan mendapati pemilik kedai berkenaan diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke sebuah bank di Myanmar.
Kereta mangsa pula ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Lorong 11.
Difahamkan, sepanjang tempoh kehilangan mangsa, keluarganya tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan ketika ini termasuk mengesan suspek yang dipercayai warga asing.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















