KUALA LUMPUR – Lembaga Pengampunan dijangka bermesyuarat Jumaat ini dengan salah satu agenda penting dipercayai membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
MalaysiaGazette difahamkan Lembaga Pengampunan berkemungkinan bertemu dua hari lagi namun masa dan tempat tidak didedahkan sekali gus isu tahanan rumah yang dipohon bekas perdana menteri itu kembali menjadi perhatian.
Ia juga mencetuskan persoalan adakah permohonan Najib kali ini akan mendapat ‘restu’ Lembaga Pengampunan?
Isu tahanan rumah Najib sebelum ini melalui proses perundangan yang panjang susulan dakwaan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman di kediamannya.
- Najib fail rayuan berhubung isu tahanan di rumah dalam titah adendum
- Bekas PM Najib Tarik Balik Rayuan Tahanan Rumah #MGFlash
- Tahanan dalam rumah: Najib fail permohonan ke Mahkamah Rayuan
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 22 Disember lalu menolak permohonan semakan kehakiman Najib selepas mendapati isu tahanan rumah tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.
Najib kemudiannya menarik balik rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu namun tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan.
Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, merekodkan bahawa Notis Penghentian yang difailkan peguam adalah teratur, dan seterusnya membatalkan notis rayuan Najib.
Jabatan Peguam Negara sebelum ini turut menjelaskan bahawa sekiranya terdapat cadangan supaya Najib menghabiskan baki hukumannya di bawah tahanan rumah, perkara itu perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehingga kini, belum ada pengesahan rasmi mengenai agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikatakan berlangsung Jumaat ini.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini menjalani hukuman di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette















